Impian Untuk Terbit Filem Aksi, Adrian Teh Pertaruh Wira!

Pengarah terkenal, Adrian Teh menaruh sebuah lagi filem bergenre aksi bertajuk Wira selepas kejayaan filem Paskal The Movie.

Menurut laporan Astro Awani, Adrian berharap agar filem ini diterima baik oleh penonton sebagaimana filem arahannya yang sebelum ini berjaya mencatat kutipan hampir RM30 juta selepas tayangannya tahun lepas.

Jelas Adrian, tiada angka kutipan yang disasarkan untuk filem yang sarat dengan aksi ini, tetapi pastinya mengharapkan kutipan yang lebih baik.

“Saya mengharapkan penonton menghargai filem Wira kerana ini adalah impian saya untuk menerbitkan filem aksi.

“Walaupun tiada jangkaan kutipan yang diletakkan, begitu juga dengan filem Paskal The Movie terdahulu tetapi saya sangat menghargai jika penonton suka dengan filem ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media tayangan filem berkenaan di ibu negara pada Selasa.

Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda.

Manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Filem ini juga diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.

Sumber: Astro Awani