Hiburan
'IMSO' Bawa Mesej Positif Tiga Bintang Hip-Hop Tempatan Bergabung Dalam Lagu
Tiga bintang Hip Hop muda, Lil J, Alan D dan MK tampil dengan single terbaru yang berjudul 'IMSO'.
Gabungan tersebut merupakan pertama kali tiga rapper ini bekerjasama dalam menghasilkan single buat peminat mereka.
Single tersebut digubah oleh Ming dan DII, liriknya pula menampilkan Bahasa Melayu dan Inggeris hasil nukilan Lil J, Allan D dan MK sendiri.
Ia membawa sebuah mesej positif yang mendorong pendengar untuk sentiasa bekerja keras dan tidak putus asa dalam mengejar impian serta cita-cita.
Lebih menarik lagi, lagu ini menampilkan keharmonian berbilang kaum yang semestinya sinonim dengan budaya serta imej Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Malah, lagu ini juga bakal muncul dengan sebuah video muzik hebat yang telah melalui proses penggambaran di Sabah.
”Sekali lagi artis muda Lil J tampil dengan single terbaru yang memenuhi cipta rasa pencinta muzik tempatan, IMSO hasil gabungan mantap Alan D dan MK.
"Menarik tentang lagu ini, pembikinan video muzik dilakukan di Sabah dimana kami menerapkan keindahan pulau pulau dan gunung-ganang. Diharapkan lagu IMSO mendapat tempat di dalam hati peminat dan pencinta muzik tempatan," ujar Feros selaku Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records.
Lagu ‘IMSO’ ini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.
Video lirik dan muzik lagu ‘IMSO’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.