"In A Few Days I Will Get Another Sibling" - Asyraf Khalid Kongsi Rasa Teruja

Amri Hassan
Mac 18, 2018 09:41 MYT
Anak tiri penyanyi nombor satu negara, Asyraf Khalid berkongsi keterujaan menantikan cahaya mata sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kehadiran zuriat Siti sekali gus menambah bilangan adik-beradik menjadi lima orang.
"Kali terakhir saya mendapat adik baru sudah terlalu lama dahulu, sekarang dalam tempoh beberapa hari saja lagi saya akan menerima adik baru.
"Mak Iti (DS Siti Nurhaliza), saya sangat gembira, salah satu impianmu menjadi realiti," tulis Asyraf menerusi Instagramnya.
Asyraf juga memuji usaha Siti yang tidak pernah mengenal erti jemu untuk mendapat sesuatu yang diimpikan.
"Seperkara yang saya belajar daripada Mak Iti adalah jangan pernah berputus asa. Banyak kali mencuba, gagal, cuba lagi, gagal lagi tetapi tidak pernah lelah.
"Akhirnya, Allah telah menjawab doa Mak Iti, kami sekeluarga dan satu Malaysia.
"Saya doakan semoga cahaya mata sulung Mak Iti akan memberikan Mak Iti dan Ayah kegembiraan dalam hidup dan kepada kita sekeluarga.
"Tahniah dan saya sudah tidak sabar menunggu kelahiran puteri dalam keluarga kita," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, pengurus Siti, Rozi Abdul Razak memaklumkan penyanyi itu masih belum bersalin dan memohon peminat memberikan ruang kepada Siti sekeluarga.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Datuk K dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhd Anas Zawawi, Muhammad Adib, Muhammad Asyraf dan Muhammad Aazief.
Siti dan Datuk K telah mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 dan mengumumkan berita kehamilannya selepas 11 tahun berkahwin.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @asyrafkhalid
#Anak #Datuk Seri siti Nurhaliza #Asyraf Khalid