BERITA

Indonesia, Arab Saudi, Sudah Puasa, Malaysia & 3 Negara Ini Mula Berpuasa Esok

Maliah Surip 01/03/2025 | 06:25 MYT
Umat Islam di seluruh dunia sedang bergembira menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadan.
Namun seperti saban tahun, Ramadan disambut dengan tarikh berbeza di setiap negara, termasuk sambutan tahun ini, Ramadan 1446 Hijrah.
Selain umat Islam di Malaysia sedang membuat persiapan menyambut Ramadan dan akan memulakan solat terawih pertama pada malam ini, beberapa negara lain di dunia termasuk Singapura, Brunei dan Filipina juga mula berpuasa dan akan meraikan 1 Ramadan pada 2 Mac 2025.
Ia berbeza dengan beberapa negara lain yang telah menyambut puasa pertama pada hari ini iaitu 1 Mac 2025.
Selain Arab Saudi, Oman, Turkiye dan Australian, Indonesia menjadi negara yang sudah menyambut 1 Ramadan pada hari ini. Penetapan 1 Ramadan di Indonesia berdasarkan hilal atau anak bulan yang terlihat di Provinsi Aceh pada Jumaat dan Muhammadiyah mengumumkan sebelum ini puasa pertama disambut pada 1 Mac 2025.
Menteri Agama (Menag) Indonesia, Nasaruddin Umar menjelaskan alasan penetapan Ramadan 1446 Hijriah atau 2025 di Indonesia yang berbeza dengan negara-negara tetangga termasuk Malaysia, Singapura, hingga Brunei Darussalam kerana sudah nampak anak bulan.
"Indonesia berbeza dengan Brunei Darussalam, Singapura Malaysia yang menyatakan puasa mereka mulai pada tanggal 2 Mac 2025 kerana ketinggian hilal berbeza. Sebab itu Indonesia lebih awal kerana Malaysia, Brunei, dan Singapura belum menemukan hilal di sana," ujar Nasaruddin seperti dilaporkan Kompas.
#Ramadan #Indonesia #Malaysia #Singapura #Puasa #Arab Saudi