"Influencer Bukan Hanya Perlu Post OOTD & Selfie Cantik Tapi ..." - Vivy Yusof

Amri Hassan
Ogos 14, 2019 07:06 MYT
Usahawan terkenal Datin Vivy Yusof berpesan kepada golongan muda terutama yang taksub dengan teknologi dan media sosial agar menggunakan medium itu sewajarnya.
Kata Vivy sepanjang menggunakan media sosial sejak tujuh tahun lalu, isi kandungan memainkan peranan penting selain foto 'outfit of the day' (ootd) dan swafoto yang menjadi trend masa kini.
"Media sosial ada baik dan buruknya. Kita perlu menikmati kehidupan kita tanpa bimbangkan keselarasan garis masa, bilangan likes dan komen.
"Saya melihat ramai influencer muda yang terlalu menitikberatkan hal itu berbanding info dan kandungan yang sepatutnya disampaikan kepada pengikut.
"Kadar depresi dalam kalangan generasi muda sekarang juga amat membimbangkan dan saya fikir media sosial memainkan peranan juga.
"Sepanjang tujuh tahun saya menggunakan Instagram, ia menakutkan kalau saya fikir-fikirkan semula," katanya menerusi sebuah entri di Instagram.
Tambah pengasas FashionValet itu, dia tidak pernah terlintas untuk melakukan detoks media sosial.
"Bergembiralah dan terima keburukan. Paling utama hargai kehidupan sebenar di luar media sosial. Kemudian barulah muat naik di Instagram," ujar Vivy.
Posting itu sempena meraikan entri ke 10,000 di garis masa Instagram Vivy sejak menggunakan akaun media sosial itu pada 2012.
Mengimbas semula kenangan pertama kali memuat naik entri di Instagram, Vivy hanya memuat naik foto sepinggan nasi lemak tanpa sambal yang hanya mendapat kurang 500 likes sahaja.
#Viral #Instagram #Viral #Vivy Yusof