Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Influencer Kacak Hilang 1 Juta Pengikut Lepas Suruh Kerja Lebih Keras Untuk Beli Alat Solek

Maliah Surip
14/09/2023 14:45 MYT
Salah seorang Influencer atau pempengaruh paling popular di China menerima kritikan keras sekaligus mula diboikot penggemar selepas mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai mengguris hati.

Li Jiaqi, 31, membuat pengguna media sosial di Weibo dan Taobao terasa hati selepas mendakwa ramai tidak bekerja keras dan tidak memiliki cukup wang hanya untuk membeli sebatang pensel mata.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sewaktu dia yang digelar ‘China’s Lipstick King’ bersiaran secara langsung pada hujung minggu lalu.

Dia waktu itu sedang menjual pensel mata yang berharga RM50.50 (79 yuan atau $10.80) yang merupakan produk tempatan.

Namun ada dalam kalangan penonton menyifatkan harga RM50.50 untuk sebatang pensel mata terlalu mahal.

“Mahal? Ini adalah harga yang telah dijual sejak bertahun lamanya. Jangan merepek. Ia sukar untuk produk tempatan bertahan.

“Kadang-kadang kita perlu lihat kepada diri sendiri. Sama ada pendapatan anda bertambah atau anda tidak bekerja keras,” selar Li Jiaqi seperti dilaporkan BBC.

Lantaran kenyataan yang disifatkan tidak beradab itu Li Jiaqi menerima banyak kritikan. Malah ada dalam kalangan netizen yang mengatakan gaji sebanyak RM1,980 sebulan memang tidak cukup untuk membeli sesuatu yang tidak penting.

Meski dia telah meminta maaf dan menjelaskan maksud di sebalik kata-katanya, Li Jiaqi semakin kehilangan pengikut di media sosial.

Dia yang memilki 76 juta pengikut di Taobao mula kehilangan ‘mereka’ manakala akaun Weibo mencatatkan dirinya kehilangan 1.1 juta pengikut menjadikan ia kini hanya diikuti seramai 29.3 juta gara-gara kontroversi yang tercetus.

#Viral #China #Influencer #Alat solek #Pengikut #Sentap #Li Jiaqi
;