VIRAL
‘Influencer’ Keyna Azami Menangis Kongsi Detik Cemas Dalam Pesawat Hampir Tergelincir Di Indonesia - “Saya Fikir Akan Mati…”
Pempengaruh yang dikenali sebagai Keyna Azami mendedahkan dia antara salah seorang penumpang dalam sebuah pesawat yang baru-baru ini tular disebabkan mendarat di landasan dalam keadaan mengiring dan hampir tergelincir.
Tak sangka masih hidup
Menerusi perkongsian di TikTok, Keyna berkongsi detik cemas ketika pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hantta, Tangerang, Baten baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Curi Dalam Pesawat Meningkat Di Asia, Malaysia Catat 146 Kes Dalam 10 Bulan
“Saya tak sangka saya masih ada di sini masih hidup. Ya, saya adalah salah seorang warganegara Malaysia yang dalam Batik Air semalam (28 Jun).
“Saya ke Jakarta untuk kerja sekejap sahaja, beberapa jam sahaja di Jakarta dan malam tu saya ambil penerbangan balik semula ke Malaysia.
“Kiranya satu hari sahaja. Saya tak sangka saya masih hidup sebab keadaan di dalam pesawat sangat teruk. Saya tak sangka Allah SWT nak pilih saya,” ujarnya dalam keadaan sebak.
Penumpang menjerit
Menurut Keyna lagi, sewaktu insiden berlaku keadaan di dalam pesawat sangat kucar-kacir dan para penumpang hanya memikirkan tentang kematian.
“Awalnya pesawat terbang dalam keadaan yang baik namun sewaktu ingin mendarat dan sebaik kapten memaklumkan ‘bersedia untuk mendarat,’ berlaku angin kencang (turbulence).
“Dekat nak sampai 20 minit lagi, kita orang dah menjerit sebab ini pertama kali Keyna lalui ‘turbulence’ yang macam ni (sambil menunjukkan tangan pesawat seperti jatuh ke bawah).
“Sebelum ni Keyna naik pesawat dia akan gegar macam ni sahaja. Itu Keyna tak kisah sebab dah banyak kali melalui pengalaman itu, dan dekat atas kita orang macam ni, kita orang menjunam macam tu,” jelasnya.
Kapten sudah maklum awal
Kongsinya lagi, kapten sememangnya sudah memaklumkan mengenai cuaca buruk dan kapal terbang akan mengalami gegaran ketika mendarat.
“Masa nak mendarat kita orang bergegar macam ni, dan bila tayar menyentuh laluannya ketika mendarat memang kita orang rasa terbalik macam ni. Saya dan penumpang yang tak dikenali memang berpegangan tangan serta semua beristighfar.
“Memang kuat gila beristighfar, ya Allah, Astaghfirullah (ulangnya tiga kali). Saya fikir saya akan mati. Masa landing (mendarat) tu saya fikir, saya ada anak kecil bayi. Saya kata dekat tuhan, ya Allah jangan tarik aku (cabut nyawa). Kalau kau nak tarik aku, tolonglah tarik aku lepas anak aku dah besar.
“Sebab saya ada tanggungjawab untuk bagi anak saya, supaya anak saya ada rezeki untuk dapat susu badan sampai dua tahun. Sebab niat saya masa lahirkan dia (bayi) saya nak susukan sampai dua tahun.
“Jadi masa mendarat tu kalau mati, kalau anak aku tak dapat susu badan aku. Itu saya fikir anak sahaja,” katanya sambil menangis.
Pertama kali menaiki pesawat itu, Keyna mengakui insiden yang dilaluinya itu turut membuatkan dia trauma.
Di ruang kapsyen Keyna turut menyifatkan Allah SWT masih memberikannya peluang hidup dan ia mungkin untuk dia memperbaiki dirinya lagi.
Sebelum ini, tular video memperlihatkan sebuah pesawat mendarat di landasan dalam keadaan mengiring dan hampir tergelincir.
Bagaimanapun pihak Strategik Komunikasi Korporat, Danang Mandala Prihantoro berkata pesawat dengan nombor pendaftaran PK-LDJ itu tidak tergelincir dan melakukan pendaratan dengan baik serta mengikut prosedur operasi standard penerbangan.
Katanya lagi, kelajuan angin dari sisi sewaktu pesawat itu menghampiri landasan merupakan salah satu faktor insiden terbabit berlaku namun ia tidak melebihi had laju yang dibenarkan.
Sebaik mendarat pihak teknikal segera melakukan pemeriksaan dan tiada sebarang kerosakan dilaporkan pada pesawat.