Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Influencer, Pengasas YouTube Kimchibudu Diberi Pingat Rakyat Kehormat Seoul dari Korea Selatan

Maliah Surip
24/12/2020 07:20 MYT
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Muhamad Khalid Ismail yang cukup terkenal melalui saluran YouTube miliknya Kimchibudu menerima penghormatan dan penganugerahan darjah serta pingat Rakyat Kehormat Seoul daripada Kerajaan Metropolitan Seoul.

Influencer atau pempengaruh media sosial Muhamad Khalid Ismail itu menganggap ia sebagai satu penghormatan besar kepadanya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Seoul 14 tahun lepas dan menjadikan Korea Selatan sebagai kampung kedua.

"Inilah penghormatan tertinggi yang pernah saya terima daripada pihak kerajaan di Korea Selatan. Terima kasih Seoul kerana menghargai usaha saya dan isteri dalam menjadikan Seoul sebuah bandaraya global yang mesra Muslim dengan mengetengahkan pelancongan halal dan menjadi salah satu duta kecil yang menghubungkan Malaysia dan Korea Selatan.

"Tambah-tambah lagi tahun ini adalah ulang tahun ke-60 hubungan diplomasi antara Malaysia-Korea Selatan," katanya dalam satu catatan di akaun Facebooknya semalam.

Beliau berkata majlis penganugerahan sepatutnya disempurnakan pemangku Datuk Bandar Seoul 25 Nov lepas namun terpaksa dibatalkan disebabkan kes COVID-19 yang naik secara mendadak di kawasan itu dan hanya sesi fotografi yang diadakan untuk penerima.

Muhamad Khalid, yang kini menetap di Seoul, turut memuat naik gambar beliau dan isterinya menerima anugerah itu.

Bagaimanapun, anugerah itu bukanlah bermaksud beliau menukar kewarganegaraan.

"Saya masih lagi warganegara Malaysia, Malaysia tanah airku," katanya.

Sumber: BERNAMA

#Malaysia #Korea Selatan #Seoul #YouTube #Kimchibudu #Muhamad Khalid Ismail