Viral
Influencer 'SchaYang' Meninggal Dunia Seminggu Selepas Nikah - "IGs Pun Tak Habis Lagi Pasal ..."
Keluarga pasangan pengantin baharu yang digelar ‘Menara Berkembar Petronas' diselubungi kesedihan apabila pasangan wanitanya dilaporkan meninggal dunia pada Khamis malam.
Difahamkan, Nur Syahirah Saufi, 28, atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang mempunyai seramai 86,200 pengikut di TikTok baru seminggu bergelar pengantin baharu.
Kematian Syahirah disyaki akibat sesak nafas itu dimaklumkan oleh adiknya.
“Assalamualaikum, saya Wani adik kepada Syahirah (pemilik TikTok) nak beritahu, Scha baru sahaja meninggal dunia pada 6 Februari malam Jumaat dalam jam 11 malam.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah, maafkan segala salah silap Scha. Kalau ada Scha berhutang, mohon beritahu atau halalkan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Tik Tok.
Pasangan berkenaan sebelum ini tular di media sosial itu apabila masing-masing memiliki ketinggian luar biasa iaitu 195 dan 186 sentimeter (cm) sehingga diumpamakan seperti Menara Berkembar Petronas.
Netizen turut menzahirkan rasa terkejut dengan perkembangan 'pasangan istimewa' berkenaan di laman media sosial tersebut selain ada yang menyifatkan pemergiannya itu umpama mimpi.
“Kemas kini Instagram Story pun tak habis lagi 24 jam pasal majlis kahwin dia. Al-Fatihah,” komen @yanskz.
"Schaaa, aku tak caya kau pergi buat selamanya, baru je kahwin, moga Scha sentiasa tenang di sana dengan orang yang beriman. Sedekah Al fatihah," komen CIKNIS.