Apabila menonton trailer filem terbaharu lakonan Matt Damon, Downsizing, anda pasti terbayangkan filem popular Honey I Shrunk The Kids era 1990-an dulu.

Konsepnya sama, individu bersaiz manusia normal dikecilkan menjadi beberapa sentimeter sahaja dan menjalani kehidupan dalam dimensi berbeza.

Barangkali, filem Downsizing yang diarahkan Alexander Payne (The Descendants) bakal mengulang sejarah kutipan pecah panggung Honey I Shrunk The Kids?

Berikut kami nyatakan 5 sebab anda perlu menonton filem Downsizing yang bakal ditayangkan mulai esok!

1. Matt Damon hero yang hot

Pengarah mengambil langkah bijak menggantikan Paul Giamatti dengan Mark Damon yang melakonkan watak utama filem ini, Paul Safranek.

Walaupun wataknya berbeza daripada genre yang mengangkat namanya seperti Ocean's Eleven, The Bourne Identity, The Departed dan Invictus, Matt masih memberikan persembahan terbaik dalam Downsizing.



2. Watak Vietnamese dalam 'broken English'

Ya! Rasa-rasanya momentum filem ini dipacu oleh watak Ngoc Lan Tran, seorang imigran dari Vietnam yang kehilangan sebelah kaki akibat proses 'downsizing'.

Lakonan selamba Hong Chau untuk watak ini memberikan impak lebih besar berbanding keseluruhan jalan cerita yang dilihat seperti hilang arah tuju.



Semestinya, 'broken english' dan karakter wanita tegas yang kuat mengarah bakal menggeletek anda sepanjang filem ini.

3. Efek grafik & props realistik

Sudah pasti fokus pengarah filem ini tertumpu kepada kesan visual khas (CGI) dan props besar-besar bagi membezakan saiz manusia normal dan kecil.

Tidak terlampau tidak logik, namun adakalanya percubaan produksi ini untuk mewujudkan beza saiz manusia menjadi kesilapan seperti terlalu mencuba.

Namun, masih boleh dimaafkan!

Anda akan saksikan visual daun-daun dan bunga bersaiz lebih besar daripada manusia dan banyak lagi momen yang menyeronokkan.

4. Proses mengecil yang menghiburkan

Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah agaknya proses manusia menjadi kecil dalam nisbah beribu kali ganda?

Downsizing akan memberikan perspektif baharu kepada anda untuk melihat perubahan seorang manusia normal menjadi kecil.



Dunia manusia kecil diperlihatkan dalam filem ini sebagai satu dimensi yang menjadikan manusia hidup tanpa masalah dan mendapat apa sahaja yang dimahukan dengan mudah dan murah.

Bayangkanlah, sekeping biskut boleh menjadi hidangan harian berminggu-minggu!



5. Motif sebenarnya 'downsizing'

Populasi manusia dan pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat sebenarnya tema yang diangkat dalam Downsizing.

Apabila manusia menjadi kecil, populasi manusia dan pencemaran alam sekitar juga akan berkurangan.

Jadi, fahami motif filem ini dan selamat menonton!



Teks oleh: Amri Hassan