GAYA HIDUP

“Ingat Potong Perut Terus Kurus? Salah!” - Pertubuhan BBO Perangi Salah Faham Tentang Pembedahan Bariatrik

Amri Hassan 04/06/2025 | 11:20 MYT
Ramai masih anggap pembedahan bariatrik sekadar jalan pintas untuk kurus. Tetapi hakikatnya, ia lebih daripada itu, ia soal hidup atau mati, soal peluang kedua untuk sihat.
Itulah mesej utama yang ingin disampaikan oleh Pertubuhan Rakan Bariatrik (Bariatric Buddy Organization; BBO) dalam usaha memperbetulkan persepsi awam terhadap rawatan ini.
Dalam Majlis Makan Malam Tahunan BBO bertemakan “Unveil New You” yang berlangsung meriah di Wyndham i-City, Shah Alam, hampir 150 peserta termasuk pesakit dan bekas pesakit bariatrik berkumpul, bukan sekadar meraikan kejayaan masing-masing, tetapi menyebarkan harapan dan maklumat tepat kepada masyarakat.
BBO yang kini mempunyai lebih 200 ahli aktif, menjadi satu-satunya NGO berdaftar di Malaysia yang memberi fokus khusus kepada komuniti bariatrik menyediakan sokongan sebelum dan selepas pembedahan dalam bentuk pendidikan, nasihat pemakanan dan bimbingan emosi.
Pengasas dan Pengerusi BBO, Mastura Mokhtar, 51, atau lebih dikenali sebagai Kak Mas, memulakan inisiatif ini selepas sendiri mengalami obesiti teruk yang menyebabkan beliau menghidap slip disc dan terlantar atas katil.

“Dulu saya 90kg, nak jalan pun kena berpapah. Tak boleh diet sebab ada masalah perut. Doktor sarankan bariatrik, tapi masa tu tak ada info… saya buat keputusan dalam ketakutan.

“Saya lalui proses ni seorang diri, banyak menangis. Tapi dalam 6 bulan, saya berjaya capai BMI normal. Saya tanya doktor, kenapa tak ada satu badan yang bantu pesakit macam saya? Dari situlah BBO bermula," kongsi Kak Mas.
Kini, BBO bukan sahaja menjadi tempat rujukan kepada pesakit baharu, malah turut membantu ahli lama untuk kekal sihat dan aktif.
Salah satu salah faham terbesar dalam kalangan masyarakat ialah anggapan bahawa pembedahan bariatrik semata-mata dilakukan untuk kelihatan kurus dan cantik.
“Ramai ingat bariatrik ni potong usus. Sebenarnya potong perut, dan ia melibatkan penjagaan sangat ketat. Kalau lepas pembedahan terus ambil makanan bergula, memang takkan dapat hasil. Badan tak sempat bakar lemak lama.
“Pihak insurans pun kadang salah faham, ingat ini pembedahan kosmetik. Tapi sebenarnya, pesakit dah tak tahu macam mana lagi nak kurus secara biasa. Ini bukan soal rupa – ini soal kesihatan,” tegas Kak Mas.
Dengan kos sekitar RM35,000 hingga RM45,000, ramai menyangka rawatan ini mustahil dicapai. Tetapi melalui insurans dan sokongan BBO, ada pesakit hanya perlu bayar RM1,500 hingga RM5,000 sahaja.

Suara Komuniti Bariatrik Malaysia

BBO turut aktif memberi nasihat kepada pesakit sebelum dan selepas pembedahan, malah menekankan pentingnya gaya hidup sihat dan pemantauan berkala.
“Ramai orang fikir lepas potong perut terus turun 20 kilo. Padahal proses ni penuh cabaran. Kita tekankan: sihat dulu, kurus kemudian. Kurus itu bonus,” jelas Kak Mas lagi.
Antara aktiviti komuniti yang digalakkan termasuk senaman, marathon dan pemantauan rutin kesihatan.
“Ada influencer kongsi info tak tepat, hanya berdasarkan Google. Kita di BBO pula rujuk terus kepada Dr. Reynu. Beliau pakar dalam bariatrik dan kita lantik sebagai penaung,” katanya.

Bariatrik Bukan Jalan Mudah, Tapi Jalan Selamat

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Reynu Rajan, Pakar Bedah Perunding Bariatrik dari Avisena Specialist Hospital, Shah Alam.
“Ramai masih fikir bariatrik ni untuk kecantikan semata-mata. Sebenarnya ia peluang kedua untuk kembali sihat dan aktif. Kita mahu ubah naratif ini,” ujar beliau.
Sebagai peneraju komuniti sokongan bariatrik di Malaysia, BBO kini giat memperluas kempen kesedaran agar lebih ramai rakyat Malaysia tidak takut mendapatkan rawatan dengan syarat memahami risiko dan komitmennya.
“Bariatrik bukan shortcut. Ia jalan penuh disiplin. Tapi kami di BBO ada untuk teman, sokong, dan beri kekuatan,” kata Kak Mas menutup bicara.
Bagi yang ingin menyertai komuniti ini, orang ramai boleh hubungi admin BBO di talian 013-472 5579 atau ikuti laman sosial rasmi mereka.