Seperti lagak aksi dalam filem zombie!

Itu antara tanggapan yang dilemparkan terhadap kelakuan sekumpulan individu yang berpusu-pusu memasuki perkarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Video berdurasi 55 saat itu viral di media sosial selepas ia dimuat naik oleh beberapa individu di Facebook dan Twitter.

Menerusi video berkenaan, kelihatan orang ramai tidak sabar untuk menuju ke kaunter hingga kebanyakan mereka sanggup berlari.

Lebih malang, terdapat juga individu yang terjatuh akibat terlalu leka berebut.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di salah sebuah pejabat JPJ di Pulau Pinang.

Biarpun kelihatan sangat membimbangkan terutama ketika pandemik COVID-19 sedang berleluasa, namun ada juga wargamaya yang meminta orang ramai memahami situasi tersebut.

Sesetengah mereka berpandangan kebanyakan yang berlari itu merupakan 'runner' yang diupah oleh pelanggan untuk menyelesaikan urusan.

Tambahan pula, kaunter JPJ baru saja dibuka bermula kelmarin.

Anda boleh lihat antara pandangan mereka di bawah.
Sementara itu, JPJ menerusi satu kenyatan rasmi dikeluarkan di laman Facebook semalam menjelaskan bahawa terdapat 82 pejabat dibuka beserta 17 kenderaan Mobile JPJ telah digerakkan di seluruh negara bagi membantu melancarkan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan.

Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, orang awam supaya tidak perlu terburu-buru untuk datang ke kaunter JPJ bagi memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Lesen Memandu yang tamat tempoh dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah memberikan pengecualian pembaharuan di bawah Seksyen 66(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai boleh memandu walaupun LKM atau Lesen Memandu telah tamat tempoh dengan syarat membawa perlindungan insurans yang masih sah dan berkuatkuasa," katanya.