Semalam telah menjadi satu detik manis buat ibu bapa apabila ada anak mereka yang telah mula bersekolah.

Pastinya dalam tempoh seminggu ini, ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk menghantar mengambil anak secara terus di sekolah.

Namun, di media sosial lain pula kisahnya apabila gelagat sekumpulan ibu bapa yang menunggu kepulangan anak mereka tular.

Menerusi gambar dimuat naik, kelihatan beberapa ibu bapa berkumpul di luar perkarangan sekolah.

Tambah menarik, ada yang siap membawa kertas atau papan putih untuk memudahkan anak masing-masing mengenal pasti ibu bapa.

Selain menyamakan situasi tersebut seolah-seolah di ‘arrival gate’ lapangan terbang, tidak kurang juga yang keliru apabila melihat ia seperti satu protes atau demonstarsi.

“Mati-mati aku ingat ada protes jalanan tadi, rupanya mak bapak ambil anak”.

“Dah maca dekat arrival gate siap tulis nama”.

“Meriahnya parents ambil anak sekolah, lama dah tak nampak momen ni,” tulis beberapa netizen.

Difahamkan, ibu bapa di kebanyakan sekolah mengalami kesukaran untuk mengecam anak masing-masing apabila kesemua murid diwajibkan memakai pelitup muka.

Untuk rekod, lebih 2.7 juta pelajar melibatkan 7,778 buah sekolah kebangsaan dan 87 buah kolej vokasional memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bagi kalendar akademik 2022/2023 bermula semalam.