Pelakon dan penyanyi Datin Diana Danielle, 29, mendedahkan anak perempuannya, Nur Aurora sudah mula menunjukkan tanda tidak mampu berjauhan serta berubah menjadi clingy sejak umurnya memasuki empat tahun.

Menurut Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata Aurora tidak dapat menerima yang dia perlu pergi bekerja setiap hari.

"Fasa anak berbeza. Dulu saya berehat dari dunia lakonan bila Muhammad kecil sebab dia tak mampu nak jauh dari saya. Tak berhenti menangis dan masih menyusu badan sampai umur hampir tiga tahun.

"Aurora masa baby tak clingy macam Muhammad. Dia dah lapan bulan, dia sendiri nak slow down breastfeeding sampai saya pula naik heran. Berdikarinya awak Aurora.

"Tapi sejak dia umur empat tahun, dia makin clingy dan kuat rindu. Dia tak faham kenapa saya nak kena kerja hari-hari.

"Dia tak okay dan saya pun sedar saya beruntung boleh pilih nak kerja atau tidak. Dan saya nak gunakan masa dengan lebih baik untuk besarkan Aurora dan Muhammad.

"Aurora pernah peluk saya, dada kita boleh rasa tengah kawal tak nak menangis. Saya usap belakang dia, saya cakap takpe lepaskan perasaan tu. Terus dia meraung cakap dia rindu," tulisnya.



Oleh sebab itu, isteri kepada aktor dan pengarah Datuk Farid Kamil ini nekad untuk memperlahankan karier lakonan pada tahun 2021.

Pelakon filem Evolusi KL Drift itu memilih untuk menumpukan kepada bidang nyanyian kerana lebih flesibel.

"Sebab itu 2021, saya nak perlahankan berlakon. Jadual pelakon sangat padat dan tak tentu masa. Masuk kerja enam pagi, balik esok sembilan pagi pun perkara biasa.

"Saya akan lebihkan bidang nyanyian sebab lebih fleksibel. Kalau ada projek lakonan yang komitmen tak panjang insya-Allah.

"Tetapi sekarang ini Aurora memerlukan saya sangat, saya dapat merasanya. Saya tak nak sebab kerja, hubungan saya dengan anak perempuan jadi renggang, jauh. Jadi mommy akan tinggal di rumah dengan awak, baby," tulisnya lagi.

Terdahulu, Diana berkahwin dengan Farid pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 7, dan Aurora, 5.