Seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Telor di Kota Tinggi Johor, telah menerima hadiah permainan Beyblade daripada salah seorang anak muridnya.

Guru tersebut yang dikenali sebagai Fitri Azmann telah memuat naik tentang perkara tersebut di laman sosial Twitter dan telah menjadi tular.

Menurut Fitri, dia memuat naik hadiah diberikan oleh anak muridnya yang dikenali sebagai Taufiq Iskandar itu kerana terharu dengan nota ditulis pelajar tersebut.

“Hadiah yang saya berikan ini adalah antara benda yang paling saya sayang. Jadi saya harap setiap kali cikgu melihatnya, cikgu akan ingat kepada saya,” tulis pelajar tahun 3 Tekun itu dalam nota yang disertakan bersama mainan asal Jepun itu.

Taufiq menghadiahkan Beyblade kepada guru kesayangannya itu sempena hari terakhir khidmat Fitri sebagai guru sandaran di SK Sungai Telor.

Foto yang dimuat naik Fitri telah mendapat hampir lapan ribu ulang ciap serta 10 ribu tanda suka.

Beyblade diberikan Taufiq kepada Fitri itu dikenali sebagai Beylogger Plus dengan "god layer system".

Selain foto Beyblade dihadiahkan Taufiq, Fitri turut memuat naik posting hadiah yang diberikan oleh pelajar lain.

“Hadiah-hadiah lain pun bermakna juga untuk cikgu, bukan hadiah Taufiq seorang je. Terima kasih semua!,” ciapnya.