BERITA
"Ini Bukan Gimik Lariskan Tiket, Setiap Perkara Pasti Ada Penghujungnya" - Norman KRU
Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim menjelaskan pembubaran kumpulan itu bukanlah salah satu cara yang dilakukan untuk melariskan tiket Konsert Gergasi KRU 25 yang bakal berlangsung di Istana Budaya, bulan depan.
Menurut Norman, perkara itu dilakukan adalah untuk mereka memberi tumpuan kepada komitmen masing-masing selepas ini.
"Pengumuman yang dilakukan ini bukannya gimik untuk lariskan tiket kerana bagi kami setiap yang bermula pastinya ada penghujungnya.
"Kalau nak dikatakan pembubaran ini adalah untuk lariskan tiket adalah tidak benar kerana tiket konsert kami yang bakal berlangsung itu telah dijual sebanyak 80%.
"Sebenarnya tiada apa lagi yang kami mahu capai atau kejar kerana KRU sendiri sudah mengecap pelbagai sejarah manis dalam kerjaya seni.
"Kami sudah melalui pelbagai fasa dan inilah fasa penutupnya dalam kerjaya seni sebagai anggota kumpulan KRU," katanya kepada Astro Gempak.
Norman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media tergempar ‘Gergasi’ KRU, yang diadakan di Impiana Hotel KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert Gergasi KRU 25 akan diadakan pada 4 hingga 6 Mei ini di Istana Budaya.
Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert Gergasi KRU 25 boleh mendapatkan tiket di www.kruarena.com.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi