"Ini Hak Kami, Kenapa Perlu Kongsi?" - Wakili OKU, Ras Adiba Radzi Bantah Cadangan Menteri

Amri Hassan
Ogos 15, 2018 05:42 MYT
Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi menyuarakan bantahannya terhadap cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang memberi kebenaran kepada golongan transgender menggunakan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Saya sebagai Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral ingin menyampaikan bantahan kami di atas saranan YB untuk membenarkan LGBT menggunakan tandas kami.
"Maaf kami sebulat suara tidak setuju, ini adalah hak kami, kenapa perlu kami kongsi dengan mereka yang berupaya?
"Adakah YB tidak membuat penyelidikan sebelum memberi cadangan ini dan apa YB tidak prihatin dengan keadaan kami ini?" tulisnya menerusi sebuah entri di Instagram.
Kenyataan Fuziah dibuat pada Isnin lalu dan menurutnya, tindakan itu adalah jalan penyelesaian terbaik untuk golongan transgender (buat sementara waktu) sebelum mereka mendapat penerimaan sepenuhnya dari masyarakat.
Teks : Asraf Aided
Sumber : Instagram Ras Adiba Radzi
#Ras Adiba Radzi