Pelakon Sinje Lee memberitahu, filem The Garden of Evening Mists menjadi detik kemunculan semulanya selepas berehat daripada dunia lakonan lebih tiga tahun.

Sinje, 44, berkata, sebelum ini dia membuat keputusan berehat seketika daripada dunia seni bagi memberi peluang kepadanya untuk memberikan fokus terhadap anak kembarnya yang dilahirkan pada 2016.

"Sewaktu saya mengandung, saya berhenti sekejap berlakon. Pada masa itu saya dikurniakan sepasang anak kembar lelaki.

"Namun, selepas itu, saya mula memikirkan bagaimana saya mahu kembali semula dalam dunia lakonan. Saya mahukan sesuatu yang lain daripada lain untuk kembali berlakon pada usia yang ketika itu sudah mula masuk 40-an," katanya kepada Gempak.



Justeru, katanya, dia tidak menyangka apabila diberikan sebuah naskhah yang memenuhi kriteria apa yang dicari selama ini.

"Saya selalu fikir apa karakter yang saya perlu bawa, apa cabaran lain lagi yang saya mahu lalui, kerana saya mahu buktikan kemampuan saya kepada orang di luar sana.

"Jadi, apabila ditawarkan watak utama sebagai Yun Ling, ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. Sekaligus, ia memberikan rasa yang cukup teruja untuk saya buat kemunculan semula menerusi filem ini," katanya.

BACA: Sinje Lee Terpaksa Upah Dua Guru Bahasa Inggeris Demi The Garden of Evening Mists

Sinje mendirikan rumah tangga dengan pengarah dari Hong Kong, Oxide Pang pada 2010. Pasangan itu kemudian dikurniakan anak pada 8 Julai 2016.

The Garden of Evening Mists menampilkan Sinje bergandingan dengan heronya, Hiroshi Abe yang merupakan pelakon kelahiran Jepun.

Naskhah arahan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lin ini merupakan karya adaptasi novel tulisan novelis tempatan, Tan Twan Eng.

BACA: "Saya Seorang Yang Mementingkan Kesempurnaan" - Penulis Novel The Garden of Evening Mists Ambil Masa Hampir 4 Tahun

Filem tersebut mengisahkan kehidupan wanita bernama Teoh Yun Ling yang mahu membina taman Jepun demi mendiang adiknya, Teoh Yun Hong.

Bagaimanapun, Yun Ling kemudian menjalin hubungan terlarang dengan tukang kebun Jepun, Nakamura Aritomo.

Karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu mula menemui penonton di pawagam bermula esok.

BACA: Baru Tengok Trailer Tapi Ramai Yang Dah Tak Sabar Nak Tonton The Garden Of Evening Mists, Filem Wajib Tengok Ni!