Hiburan
"Ini Keputusan Muktamad" - Amir Jahari Tidak Mahu Menyanyi Lagi
Pada hari Ahad, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia seni yang dianggap penuh liku-liku.
Pengumuman itu dibuat secara live di Facebook page miliknya pada malam Ahad.
"Ini Live yang terakhir aku sebagai Amir Jahari. Bermula 2011 hingga 2020, 9 tahun aku berada dalam industri. Satu perjalanan yang tak disangka-sangka.
"Daripada jalanan, seorang busker di Kuching, sampai ke pentas AJL, sampai ada album sendiri, sampai perform di luar negara dan album yang kedua, dan hari ini adalah hari terakhir untuk Amir Jahari," katanya berkongsi dengan peminat-peminat.
Menurut Amir, dia membuat keputusan muktamad hari ini (Isnin) sebagai hari terakhir dia sebagai penyanyi yang berada dalam industri muzik.
"Mesti ramai nak tahu kenapa aku pilih hari ini untuk berhenti, sedangkan aku pernah beritahu aku tak akan pernah berhenti berkarya.
"Aku memang tak berhenti berkarya, aku ada bisnes servis cipta lagu. Aku akan menjadi komposer rakyat. Sesiapa sahaja yang mahukan lagu daripada aku, boleh hubungi. Tapi aku berhenti untuk membuat lagu untuk aku sendiri.
"Dengan ini diumumkan hari ini hari terakhir untuk Amir Jahari. Dia tak akan buat lagu untuk dirinya, dia tak akan buat album lagi, tapi masih untuk orang-orang lain, kata Amir lagi.
Menurutnya, keputusan itu agak mendadak tetapi telah difikirkannya sejak tiga minggu lalu.
"Aku fikir tentang anak aku tiga orang. Apa akan jadi nanti dengan keadaan yang tidak stabil, pendapatan daripada muzik yang tidak stabil, dengan tidak ada insuran, dengan tidak ada simpanan, dengan hidup memang cukup-cukup sahaja.
"Aku dah taknak 'gamble' untuk industri ini, dan untuk anak-anak aku yang sedang membesar dan juga isteri aku juga. Sekarang ni Alhamdulillah, semua sihat, tapi kalau apa-apa jadi pada salah seorang, aku tak tahu nak buat apa. Dengan tidak ada insuran, dengan hutang keliling pinggang, aku rasa aku dah tak sanggup," kata Amir.
Tambah Amir, dia tidak sanggup menjadi seorang seniman yang bergantung harap kepada masyarakat untuk menyokong. Kalau dia mahu berkarya untuk orang lain, dia mahu pastikan dia ada bisnes sendiri nanti dan berharap cukup untuk menampung hidup keluarga.
"Aku tak nak fikir tentang diri aku dah, sebab diri aku dah tak ada dah. Yang ada hanyalah anak-anak aku, isteri aku dan keluarga aku di Kuching.
"Aku tak ada harapan apa-apa untuk muzik industri. Cuma aku ada pesanan, kalau boleh niat sentiasa Lillahitaala," kata Amir dalam Live hampir dua jam itu.
Amir turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokongnya selama ini. Keputusan yang dibuat itu adalah sepenuhnya untuk keluarga tercinta.
Gempak juga cuba menghubungi Amir, tetapi dia menolak secara baik untuk di temubual.