Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ini Kisah & Pengalaman Ibu Hamil ‘Bayi Ajaib’- Haid Datang Setiap Bulan, Tak Skip Pil Perancang, Perut Tak Buncit!

Syafiqah Jalal
25/10/2022 21:35 MYT
Semalam tular kisah seorang ibu yang tiba-tiba melahirkan seorang bayi tanpa menyedari dirinya hamil.

Pelik tapi benar tapi itulah yang berlaku di Malaysia sendiri apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Eyka Ikaa menerusi akaun Facebook miliknya mengesahkan hal tersebut.

Menurut Eyka yang menggelarkan anaknya itu sebagai ‘bayi ajaib’ dia tidak percaya kerana sebelum melahirkan bayi berkenaan dia mendakwa dirinya telah datang bulan atau haid setiap bulan serta mengambil pil perancang tanpa gagal setiap hari.

Malah dia sendiri tidak menyedari apa-apa perubahan terhadap tubuhnya termasuk perut lebih besar atau merasa pergerakan dalam kandungan.

“Haid Datang setiap bulan. Setiap hujung bulan haid akan datang seperti biasa. Anggaran lima ke enam hari.

“Pil perancang makan setiap bulan dan tak pernah skip.

“Sepanjang sembilan bulan ,saya tidak menyedari kehadiran janin di dalam rahim saya. Kerana tidak merasa sebarang pergerakan dan perut tidak membuncit begitu besar seperti pengalaman mengandung dan melahirkan anak pertama.

“Berbeza dengan pengalaman saya melahirkan anak pertama dahulu. Perut besar, hidung kembang dan semuanya kembang. Syukur bayi saya sihat dan sempurna walaupun tidak pernah menerima sebarang rawatan.

“Sepanjang kehamilan juga saya tidak membuka buku rekod kesihatan ibu di klinik kesihatan dan sudah pasti tiada sebarang rekod kesihatan ibu dan anak di klinik kesihatan. Syukur allah melindungi dan menjaga anak dalam kandungan sehingga lahir ke dunia,” katanya.

Menceritakan kembali pengalamannya melahirkan bayi keduanya itu pada 19 Oktober lalu, Eyka memberitahu dia hanya berasa seperti sembelit hendak membuang air besar sebelum seorang janin keluar ketika dia sedang berada di atas sofa.

“Bila bersalin : Bersalin pada 19/10/2022 hari rabu pada pukul 8.45 pagi. Telah disambut oleh suami. Bersaksikan anak sulung yang berusia 1 tahun 2 bulan.

“Sebelum saya bersalin, malam tersebut dalam jam 1 pagi rasa seperti perut masuk angin dan muntah beberapa kali. Apabila keesokan harinya, rasa tidak selesa di perut makin terasa seolah olah sembelit ingin membuang air besar.

“Saya masuk ke dalam bilik air beberapa kali tapi rasa tidak selesa di perut makin menjadi. Saya membuat keputusan untuk ajak suami ke hospital tetapi oleh kerana sudah tidak tahan. Saya melahirkan bayi perempuan di atas sofa dengan disambut oleh suami.
.
“Saya meminta suami saya untuk menghubungi pihak ambulans. Sebelum pihak ambulans tiba ke kediaman kami. Suami telah mengikat tali pusat menggunakan tali kasut. Perasaan saya waktu itu sangat terkejut dan gementar seluruh badan, begitu juga dengan suami.

Entri berkenaan mendapat perhatian warga net terutama kaum Wanita dan ibu yang bimbang jika tidak dapat membuat persiapan jika berlaku kepada mereka.

Dalam masa yang sama ada juga yang mendakwa Wanita itu adalah ibu yang terpilih untuk menerima rezeki ‘bayi ajaib’.

#Bersalin #Hamil #Baby #Ibu #Sedar #Haid #Ajaib #Bayi ajaib
;