“Ini Paling Banyak Saya Berhabis” - Aina Abdul Ulas Mengenai Konsep & Makna Persembahan ‘Degupan Jantung’
Cipta sejarah tersendiri, penyanyi Aina Abdul berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Puas Sudah pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Menampilkan tema berkonsepkan degupan jantung dengan rona merah, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berpuas hati persembahannya itu dapat memukau hati juri dan penonton.
Bagaimanapun, Aina memilih untuk tidak berkongsi mengenai kos keseluruhan bagi persembahan tersebut.
Sebaliknya, hanya menzahirkan rasa syukur atas kerja keras seluruh pasukannya yang membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu.
“Saya rasa memang berbaloi, Allah bagi saya kemenangan pada malam ini.
“Saya takkan kongsi kos saya cuma ini adalah paling banyak saya berhabis.
“Saya tak ingat berapa ramai team yang saya bawa ke AJL ini, hampir 100 orang juga yang menyiapkan saya hari ini. Anugerah ini adalah untuk mereka, hasil kerjasama berbulan-bulan.
“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang kami impikan,” ujarnya kepada media ketika sidang media Anugerah Juara Lagu-39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Medium 'suara' wanita
Berkongsi lebih lanjut mengenai konsep persembahannya, Aina memaklumkan corak mata dan bibir pada busana hasil sentuhan Melinda Looi itu mewakili ‘suara’ wanita tersakiti dan dirinya menjadi medium untuk melontarkan perasaan mereka.
“Saya tak berfikir panjang untuk konsep lagu ini, saya hanya nampak warna merah untuk lagu ini.
“Kisah lagu ini adalah ditulis berdasarkan kisah orang lain persamaan kisah-kisah mereka ini semua. Hari ini saya hanya medium untuk bercerita.
“Saya tampil dengan jantung kerana saya rasa ini lah selayaknya untuk Puas Sudah.
“Saya mewakili mata-mata, bibir-bibir yang nak bersuara tapi tiada medium,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Aina pernah berhabis sekitar RM400,000 untuk persembahannya pada AJL38 tahun lalu.