Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Ini Palsu!" - Dakwaan Buat Persembahan Di Majlis Politik, Siti Nurhaliza Tampil Jelaskan

Syafiqah Jalal
01/05/2023 03:51 MYT
"Ini palsu! Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini," tegas penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai akaun serta kenyataan palsu yang dibuat menggunakan namanya.

Semalam, kecoh dalam satu hantaran Facebook menggunakan akaun nama penyanyi berkenaan dengan mendakwa dia tidak mengetahui program Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di Alor Setar, Kedah pada malam Sabtu lalu berunsurkan politik.

Siti, 44, bagaimana pun menafikan kenyataan berkenaan adalah dari dirinya dan meminta pihak berkenaan tidak menyebarkan fitnah.

Malah menjelaskan peranannya sebagai penyanyi adalah untuk menghiburkan orang dan ia dan tidak lebih daripada itu.

"Siapalah yang pandai-pandai sunting berita palsu ini. Gunakan nama saya di Facebook (yang verified) dan sebarkan merata-rata dan yakinkan it hantaran sebenar.

"Ini palsu! Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi hiburkan semua orang.

"Bulan Syawal ini bulan jalinkan silaturahim bukan sebarkan berita-berita palsu," katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya yang turut memaparkan hantaran tersebut.

Dalam masa yang sama penyanyi lagu Percayalah itu turut menegur tindakan sebuah portal hiburan yang turut menyebarkan berita palu tersebut dan beliau menjelaskan tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenainya.

"Jangan panjangkan berita palsu, saya tak pernah buat kenyataan itu," katanya.

Sementara itu, isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meminta agar penyebaran berita palsu mengenai Siti dihentikan.

Fahmi menerusi ciapan di Twitter berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan perkara it selain meminta pihak media lebih berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang berita.

"Malangnya berita palsu ini tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti. Malah ada yang percaya, atau dijadikan bahan politik.

"Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul is seperti ini.

"Tindakan undang-undang juga boleh diambil ole agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran," tulisnya.
#Penyanyi #Siti Nurhaliza #Politik #Menyanyi #Persembahan #Nafi
;