Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Ini Peluang Untuk Dapat ‘Pencen Kubur’” – Prof. Muhaya Kongsi Pengalaman, Buat Penampilan Istimewa Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita

Umirah Halim 10/05/2025 | 06:55 MYT
Pakar motivasi terkenal, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad gagal menahan air mata ketika menonton filem Indonesia Keajaiban Air Mata Wanita.

Menurut Prof. Muhaya, babak yang memaparkan seorang ibu kehilangan anak akibat kemalangan terlalu dekat di hati dan mengingatkan dirinya pada peristiwa sebenar yang pernah dilalui.

“Apabila menonton babak itu, saya tidak dapat menahan air mata. Kebetulan Neelofa yang duduk di sebelah saya terus menenangkan saya kerana dia tahu kisah sebenar saya,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan awal filem tersebut di Aurum Theatre, The Gardens Mall, malam Jumaat lalu.

Mengimbau kembali detik duka yang berlaku lebih dua dekad lalu, Prof. Muhaya berkongsi bahawa dia telah kehilangan anak lelaki tunggalnya dalam satu kejadian yang hampir sama dengan apa yang dipaparkan dalam filem.

“Kejadian itu berlaku pada tahun 2000. Saya sedang memasukkan barang ke dalam kereta apabila tiba-tiba anak saya jatuh. Saya cuba beri bantuan CPR, tetapi Allah lebih menyayanginya,” katanya sebak.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam filem tersebut, Prof Muhaya berkata keputusan untuk menerima tawaran untuk membuat kemunculan istimewa dalam filem itu hadir kerana mesej yang dibawa sangat dekat dengan misi hidupnya sebagai pendakwah.

Malah, Prof. Muhaya turut menyifatkan penglibatannya itu sebagai satu bentuk amal jariah yang mampu memberi manfaat berkekalan.

“Misi hidup saya adalah untuk membawa manusia lebih dekat kepada Tuhan, dan saya percaya filem ini mampu memberi kesan yang baik kepada penonton. Saya akan sokong apa sahaja yang membawa orang lebih dekat kepada Allah.

“Saya lihat ini sebagai peluang untuk mendapat ‘pencen kubur’. Walaupun sumbangan itu kecil, kalau ia membawa manfaat, ia adalah saham akhirat yang sangat bernilai,” katanya.

Hadir sama pada majlis tayangan perdana itu ialah penerbit filem berkenaan, Nasrullah, yang juga kenalan rapat kepada Prof. Muhaya.

Sekadar info, Nasrullah merupakan penulis mega bestseller Magnet Rezeki, yang telah menginspirasi jutaan pembaca di Indonesia.

Beliau mengetuai gerakan spiritual-ekonomi Magnet Rezeki dan Khoirur Rooziqiin yang membina komuniti berasaskan kekuatan iman, hikmah hidup dan kecerdasan kewangan.

Kini, Nasrullah mengembangkan misi dakwahnya melalui dunia perfileman.

Filem terbitannya, Keajaiban Air Mata Wanita, merupakan karya penuh emosi yang sarat nilai spiritual dan pengampunan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai gerakan menyembuhkan luka batin masyarakat dan membangkitkan harapan melalui kisah benar.

Filem Keajaiban Air Mata Wanita dijadualkan tayang di Malaysia sempena sambutan Aidiladha ini dan mengangkat kisah realiti wanita, pengorbanan serta kekuatan spiritual dalam menghadapi ujian hidup.

Filem Keajaiban Air Mata Wanita dibintangi oleh Citra Kirana, Rezky Aditya dan Natasha Rizky dan ramai lagi.

#Prof #Keajaiban Air Mata Wanita #muhaya #penampilan istimewa