Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang! Itu kata-kata yang menggambarkan kesusahan pelakon Syafie Naswip yang berjaya menggembirakan hati ibunya, Noorsiah Ahmad dengan menghadiahkan sebuah rumah banglo baru-baru ini.

Berkongsi video kejutan buat ibunya itu, Syafie memberitahu rumah yang dihadiahkannya itu hasil titik peluhnya selama 12 tahun.

"Ini rumah untuk mak! Hari ini saya buat kejutan untuk emak saya, selama dua tahun simpan rahsia ini dan akhirnya terbongkar juga.

"Reaksi dia pun nampak gembira dan saya lagi gembira! Inilah hasil titik peluh kerja selama 12 tahun dan ini hadiah untuk dia," katanya.



Dalam video terbabit Syafie ditemani ahli keluarganya menyambut kedatangan ibunya yang terkejut dengan hadiah terbabit.

Lebih hiba apabila Syafie hampir menitiskan air mata apabila memeluk ibunya yang masih dalam keadaan kaget.

"Terbayang kesusahan kami adik beradik kumpul duit ikat perut untuk membeli rumah pertama hadiah buat mak ayah.

"Walaupun selepas 4 tahun, rumah ini masih belum siap sepenuhnya. Aku terharu dan bersyukur.

"Siapa sangka budak yang sering diherdik dan dihina saat kecil ini boleh berjaya membuat emak dan ayahnya tersenyum.

"Masih banyak lagi yang aku ingin capai pada tahun ini dan aku harap Allah permudahkan segalanya," tulis Syafie lagi.