Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui gagal menahan sebak ketika meminta ketua juri Datuk Ramli MS mengulas mengenai persembahannya di pentas akhir Gegar Vaganza (GV) 7 malam tadi.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani turut menegaskan Ramli (Tok Ram) bukan ‘kabel 14 tahun’ seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Diminta mengulas mengenai tindakan tersebut Kak Ani berkata, tiada niat lain hanya kerana ingin mendapatkan komen daripada Tok Ram.

“Saya juga manusia biasa, apabila dikritik, dikecam dan dihina keterlaluan saya berasa sedih, down. Ye lah, siapa yang tak sedih kan?

“Saya akui rasa kerdil sangat bila bersama bintang GV lain kerana saya ini hanya artis Irama Malaysia dan tak pernah menyanyi lagu genre lain sepanjang 27 tahun dalam industri.

“Cuma tadi saya sebak sebab saya dah lalui proses pembelajaran sepanjang berada di GV7. Berkenaan Tok Ram pula, dia tidak pernah bias.

“Kalau dia nak hentam, dia hentam saja. Tapi biasalah perasaan sedih itu tiba-tiba datang…sebagai manusia kita rapuh,” katanya.

Malam tadi Norazniza membuat dua persembahan dengan menyanyikan lagu Empat Dara bersama Aishah dan Hutang pada pusingan pertama.

Pada pusingan kedua, Noraniza membuat persembahan memukau dengan menyanyikan lagu bergenre rap berjudul Eh!, battle bersama Ashira.

Keputusan akhir, Noraniza menduduki tempat keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi sumbangan Astro termasuk hadiah penginapan tajaaan Royale Chulan Hotel & Resorts Malaysia.

Konsert akhir GV7 juga menyaksikan Cliff Umar sebagai juara, Muss naib juara, Ayu Damit tempat ketiga, Linda Nanuwil kelima, Oja keenam dan Ashira ketujuh.