Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Ini Sebab Kenapa Jabatan Perikanan Malaysia Larang Makan Kupang Di Melaka

Gempak
05/04/2024 14:25 MYT
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengeluarkan larangan memakan dwicangkerang di Melaka serta-merta sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.

Menurut DOF, hasil analisis yang dijalankan oleh makmal Biosekuriti DOF terhadap sampel kupang dan air yang diambil pada 3 April 2024 dari Sebatu, Melaka menunjukkan kehadiran alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Ujian

"Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan selama tempoh 20 hari dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (National Shellfish Sanitation Program – NSSP) yang ditetapkan.

"DOF pada 2 April 2024 juga telah mengeluarkan hebahan larangan sementara kepada pengusaha dan penternak bagi menghentikan serta-merta aktiviti menjual dan mengeluarkan kupang ternakan melalui sistem pancang, rak dan p-line dari perairan negeri Melaka.

"Larangan tersebut merupakan tindakan pencegahan awal yang diambil Pejabat Perikanan Negeri Melaka berikutan kes kupang tercemar di Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, DOP mengesahkan kupang di perairan daerah Port Dickson khususnya di kawasan Sungai Sekawang dan Kampung Telok di Pasir Panjang disahkan dicemari biotoksin berbahaya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, hasil analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium serta Pseudonitzschia.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, DOF meminta orang awam segera melaporkan kepada jabatan perikanan negeri atau daerah yang berhampiran jika mengesan atau melihat perubahan warna air laut kepada warna merah, coklat, kuning atau hijau.

Foto: FMT
Sumber: Sinar Harian

ARTIKEL BERKAITAN: Pengunjung & Netizen Persoal Kenapa Elsa Makin Kurus, Zoo Melaka Bakal Beri Penjelasan Lanjut

ARTIKEL BERKAITAN: Mudahnya Masak Kupang Sambal Tumis Petai, Confirm Sedap

#Melaka #Jabatan Perikanan Malaysia #Kupang #Larang Makan Kupang
;