Laman Utama

INNOVATHON Program Realiti TV Cungkil Idea Inovatif! Tawar Modal Asas RM1 Juta

gempak
Amri Hassan
14/04/2023
14:22 MYT
Sponsor Banner
INNOVATHON Program Realiti TV Cungkil Idea Inovatif! Tawar Modal Asas RM1 Juta
Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan program realiti televisyen dikenali INNOVATHON khusus memberi peluang kepada rakyat mengembangkan idea inovatif di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program itu diharap dapat menjadi platform menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan sebagai produk digital dan teknologi pada masa akan datang.

Hantar video ringkas 1 minit

Kata beliau, ia dilaksanakan dengan kerjasama saluran televisyen berbayar, Astro dan akan ditayangkan dalam beberapa episod bermula Jun depan.
"Buat permulaan, rakyat Malaysia yang berminat tanpa mengira had umur boleh menyertai program itu dengan menghantar idea inovatif berbentuk video ringkas masing-masing bermula hari ini sehingga 7 Mei depan.
"Program realiti TV ini dijangka mula bersiaran pada Jun selama 10 minggu," katanya pada majlis pra pelancaran INNOVATHON di Putrajaya pada Jumaat.
Hadir sama pada acara terbabit Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Has-sim dan Timbalan Ketua setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamad.
INNOVATHON akan memfokuskan kepada produk berbentuk digital dan juga teknologi, melalui format hackathon.

Saringan di 6 lokasi

Rafizi berkata, video ringkas yang dihantar akan dinilai dan peserta terpilih kemudiannya dijemput hadir secara fizikal untuk saringan panel hakim di enam lokasi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Katanya, peserta pada peringkat berkenaan akan menerima bimbingan daripada mentor berpengalaman dalam bidang perniagaan, produk, dan teknologi malah, idea mereka akan dibentangkan di hadapan bakal pelabur.
"Sebanyak 56 idea inovasi terbaik yang melepasi uji bakat fizikal akan menyertai program realiti INNOVATHON di mana pemenang terpilih berpeluang memenangi modal asas permulaan RM1 juta.
"Kami berharap usaha melalui INNOVATHON ini akan membina keyakinan lebih ramai bakat dalam masyarakat untuk membina kerjaya dan inovasi dalam bidang ekonomi digital.
"Program ini juga diharap dapat memupuk minat rakyat untuk mempopularkan inovasi sekali gus mewujudkan lebih banyak syarikat pemula tempatan pada masa depan," katanya.

Peluang berinovasi

Sementara itu, kata Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, Astro mengambil inisiatif untuk menerbitkan program realiti berkonsepkan inovasi bagi memberi nilai tambah kepada penonton.
"Program ini sebenarnya bukan program calang-calang yang kita pernah buat, sebelum ini kebanyakan rancangan yang diterbitkan Astro bersifat hiburan.
"Ini sebahagian daripada inisiatif untuk memberikan ruang dan peluang kepada mereka yang ingin berinovasi untuk mengetengahkan idea mereka. Program ini sangat positif dan patut kita ketengahkan.
"Secara tidak langsung dapat menambahkan inovasi teknologi dalam masyarakat kita dan kita mahu pastikan program ini mendapat liputan meluas kerana penting untuk setiap lapisan masyarakat yang berbeza," katanya.

Hadiah utama RM100,000

Kerjasama strategik ini juga kata Raqim akan terus dilestarikan bagi membantuk menjana idea-idea yang dijana daripada INNOVATHON.
"Kita bekerjasama dengan Mosti, selain menerima hadiah wang tunai, mereka juga akan menerima bantuan daripada pihak kementerian bagi membantu menjana dan merealisasikan idea mereka selepas ini.
"Kita berharap melalui program ini, kita akan ada 8 finalis untuk berentap peringkat akhir. Lima daripadanya akan menerima hadiah wang tunai dan diharapkan dapat membantu mereka untuk merealisasikan idea mereka," tambahnya.
INNOVATHON menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000, tidak termasuk dengan bantuan permulaan daripada kerajaan sendiri.
Individu berminat menyertai INNOVATHON boleh berkongsi idea masing-masing menerusi [email protected] beserta video ringkas bermula hari ini hingga 7 Mei depan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024