Pengasas Icon Entertainment dan penganjur konsert, Iman Tang meluahkan rasa sedih dengan insiden yang berlaku di konsert Pinkfish yang menyebabkan kematian empat pengunjung akibat pengambilan dadah jenis ekstasi baru-baru ini.
“Penganjur itu kawan saya juga tapi saya tak ada bertanya lebih apa yang terjadi,” katanya kepada Gempak.
Iman turut menyifatkan penganjuran konsert Electronic Dance Music (EDM) adalah berbeza berbanding konsert muzik lain seperti persembahan komedi atau muzik konvensional.
“Bagi saya perkara itu sangat sukar untuk dikawal, bahan terlarang seperti dadah ini pelbagai jenis dan bentuk. Banyak tempat boleh disorok.
“Ia sebuah konsert EDM, sebagai contoh di Eropah pengunjung ada mengambil bahan terlarang tetapi dalam jumlah terhad. Mereka tahu badan mereka.
“Setiap benda yang kita ambil itu jika terlaluan ia akan beri kesan kepada kita,” kongsinya.
Terdahulu, polis telah merakam keterangan 15 individu bagi membantu siasatan kematian empat individu dalam konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada ambang tahun baru 2025.