Susulan insiden yang berlaku kepada pelakon Fasha Sandha, aktor yang berpengalaman Datuk Fizz Fairuz menasihati rakan pelakon lain agar tidak berlebih-lebihan ketika menjayakan sesuatu babak.

Memahami keadaan yang berlaku, Fizz bagaimanapun berkata ada pelbagai cara lain yang boleh digunakan bagi mengelakkan berlaku sebarang kecelakaan.

“Bagi saya, kita berlakon ini kena beringat, tak payah nak berlakon beriya-iya sangat. Boleh untuk melakukan babak sedemikian tapi biarlah ada persediaan sebab ada asas lakonan.

“Saya faham keadaan ini tak boleh nak elak, tapi boleh rancang, tak perlu nak nampak realistik misalnya agenda baling, sepak, ke terpanjang…ada cara yang betul.

“Jangan terlalu over acting sebab ia melibatkan orang lain juga. Kena ingat, kalau ada duit boleh dapatkan rawatan tapi kalau ini terjadi kepada pelakon yang tidak berkemampuan macam mana,” katanya kepada Gempak.

Tambah Fizz lagi, setiap pengiat seni seharusnya berhati-hati dalam melakonkan aksi berisiko kerana terdapat syarikat produksi yang tidak menyediakan pelan perlindungan.

“Bahaya la, kita ini kerja sendiri. Jadi sepatutnya kena ada pelan pelindungan yang sebelum ini saya dengar ada ura-ura pihak berkaitan nak laksanakan tapi sehingga sekarang tiada khabar berita.

“Kenapa saya tekankan benda ini di laman sosial, kerana tidak mahu insiden yang lebih teruk berlaku membabitkan lelaki. Selama saya berkecimpung dalam industri, saya difahamkan anak seni tiada insurans disediakan.

“Kecuali kalau filem mungkin ada disediakan insurans. Kalau untuk terbitan drama, saya rasa tiada… mati katak saja la,” ujarnya.

Terdahulu, Fasha mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran sebuah drama di Johor Bahru, Johor pada petang Rabu.

Tulang mata kirinya patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak bersama seorang pelakon.