HIBURAN
Insomniacks Umum Konsert Solo Pertama, Harga Tiket Paling Murah Di Zepp KL!
Setelah sedekad mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan popular Insomniacks bakal menganjurkan konsert solo pertama mereka bertajuk Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025.
BERITA TRENDING: #GMWA2024: Pertama Kali Menang Anugerah, Insomniacks Nak Hantar Trofi Ke Indonesia - "Kami Sendiri Yang Akan ..."
Konsert ini dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music, dan akan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur.
Insomniacks dianggotai oleh tiga ahli, iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie selaku vokalis utama, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar).
Dikenali dengan karya-karya segar yang sering menjadi siulan, Insomniacks berjaya mengukir nama bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Antara lagu popular mereka termasuk Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam. Kolaborasi bersama Nabila Razali menerusi lagu Cerita Kita turut mendapat sambutan hangat, manakala duet mereka dengan penyanyi Indonesia, Nabila Taqiyyah menerusi lagu Belum Mulai memenangi kategori Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.
TERITA TRENDING: #GMWA2024: “Ini Merupakan Anugerah Pertama Kami” - Insomniacks Berdebar, Teruja Menanti Keputusan!
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, konsert ini merupakan detik bersejarah buat Insomniacks. Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, tiket ditawarkan pada harga mampu milik.
"Ini adalah momen bersejarah buat Insomniacks. Kami menawarkan tiket pada harga paling rendah yang pernah dijual di Zepp KL untuk memastikan lebih ramai peminat dapat bersama-sama mencipta kenangan ini," katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2015, Insomniacks bermula dengan memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di YouTube sebelum mencipta nama dengan karya sendiri.
Mereka turut mencatat sejarah apabila menjadi artis pertama dengan empat lagu (Pulang, Sempurna, Reminisensi, Igauan Malam) serentak di carta Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia) Domestic Chart.
BERITA TRENDING: Nama ‘Insomniacks’ Wujud Kerana Masalah Sukar Tidur! – “Masa Tu Cari Nama Untuk Gig, Terus Petik Je…”
Pada tahun 2024, Insomniacks diiktiraf sebagai artis Malaysia kelima paling banyak distrim di Spotify, membuktikan populariti mereka yang terus meningkat. Muzik mereka menggabungkan elemen pop, rock, dan punk.
Harga tiket untuk Insomniacks: Echoes Of A Dream adalah seperti berikut:
RM138 (Maniacks – Standing)
RM168 (Sempurna – Seating)
RM228 (Reminisensi – Seating)
RM6888 (Pulang – VIP Box)
Tiket akan mula dijual melalui laman sesawang Ticketmelon bermula 5 Mei ini.