Hiburan
"Inspektor Nuar Watak Idaman Saya" - Syafiq Kyle Teruja Menanti Tarikh Tayangan Filem Pusaka
Pelakon Syafiq Kyle menyifatkan watak Inspektor Nuar Ishak yang digalas dalam filem Pusaka merupakan watak idamannya.
Menurut Syafiq, watak terbabit memberikan cabaran tersendiri dan filem itu tidak hanya berpaksikan atas premis seram semata-mata.
"Watak Inspektor Nuar memang menjadi watak idaman saya. Secara keseluruhan, ia banyak mencabar saya sebagai seorang pelakon. Sebelum ini, memang saya pernah membintangi filem seram lain iaitu Langsuir tetapi Pusaka menyajikan sesuatu yang berbeza.
"Berlakon dalam filem ini sendiri memberikan satu kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan. Ia tidak hanya berlegar dalam topik seram semata-mata, malah ia menampilkan perkara lain seperti penyiasatan, nilai kekeluargaan dan banyak lagi," kata Syafiq.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tanah Kubur ini, dia tidak sabar untuk menantikan reaksi peminat.
"Sudah tentunya saya tidak sabar mahu menantikan tarikh tayangan filem ini di pawagam. Saya teruja menantikan reaksi penonton.
"Saya juga berharap peminat dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada filem ini," katanya lagi.
Filem Pusaka merupakan karya terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director's Think Thank dan dipersembahkan oleh produksi Alpha 47.
Mendapat sentuhan pengarah berbakat, Razaisyam Rashid, filem ini membariskan bintang-bintang hebat.
Filem ini menampilkan pelakon hebat seperti seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Sweet Qismina, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan, Yuna Rahim dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan filem Pusaka di pawagam bermula 31 Oktober ini!
Untuk lebih informasi mengenai filem Pusaka, layari laman Facebook, YouTube, Twitter dan Instagram Astro Shaw.
Must-Watch Video