Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Inspirasi Dari Jepun, 8,000 Meriahkan Putrajaya Green Light Run 2023!

Amri Hassan
11/12/2023 05:30 MYT
Lebih 8,000 pengunjung menyemarakkan program Putrajaya Green Light Run 2023 yang berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya pada Sabtu lalu.

Diinspirasikan daripada larian di Tokyo, Jepun, acara anjuran Tune Advertising Sdn Bhd itu menjadi tarikan apabila pelari perlu mengatasi masa lampu isyarat bertukar warna hijau dan melepasinya sebelum merah.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn Bhd, Muhammad Hafiz Rozlan keunikan larian berkonsep seumpama itu yang pertama di negara ini memerlukan peserta berlawan dengan kepantasan lampu isyarat sekali gus membezakan perlumbaan ini dengan pertandingan lain.

"Inilah keistimewaan Putrajaya Green Light Run yang bukan sahaja memerlukan peserta bersaing dengan pelari lain, bahkan menguji kekuatan tenaga serta mental semua pelumba mengatasi kepantasan masa lampu isyarat.

"Sekiranya gagal melepasi waktu selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu warna lampu berubah hijau semula.

"Melihat demografi jalan utama di pusat pentadbiran negara ini yang unik dengan adanya beberapa lampu isyarat di sepanjang laluan perlumbaan, kami yakin cabaran 7 kilometer itu juga membuatkan peserta teruja untuk ke garisan penamat," katanya selepas pelancaran acara terbabit.

Majlis pelancaran serta melepaskan perlumbaan disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Cabaran larian bermula pada jam 8.30 malam dan memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan memberikan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan.

Pada masa sama, katanya Putrajaya Green Light Run 2023 yang turut berkonsepkan sebuah karnival yang bermula pada sebelah siang itu juga sarat aktiviti untuk semua lapisan usia.

Antaranya adalah sesi karaoke terbuka, permainan pentas, lukisan wajah kanak-kanak, Bazaar Makanan, Zumba bersama penyanyi Nas Adilla, Belon Udara Panas, serta Konsert Mini membariskan artis popular tanah air.

"Selain acara larian, pengunjung turut dihiburkan persembahan konsert terbuka yang dihoskan Fara Fauzana dengan barisan penyanyi pula terdiri daripada Ernie Zakri, Afieq Syazwan Amir Masdi dan ramai lagi.

"Sambil menikmati pilihan seleksi lagu hits secara 'live' dan merasai suasana di Putrajaya, pengunjung seisi keluarga boleh menyertai pesta jualan selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk belon udara panas.

"Ini juga antara tujuan untuk masyarakat sekitar mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah bersama sahabat dan keluarga sekali gus mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi riadah pada waktu malam," katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Tune Advertising Sdn Bhd turut menawarkan hadiah berupa voucher Decathlon, Skuter Elektrik, Smart TV 55 inci serta Motosikal Modenas untuk cabutan bertuah kepada peserta.

Acara ini ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 Hotdog dan Decathlon yang juga penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia dan Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia.
#Gaya Hidup #Sukan #Jepun #Larian #Putrajaya #Ahmad maslan #Putrajaya Green Light Run
;