HIBURAN

Inspirasikan Siti Nurhaliza, Pereka Fesyen Keluarkan Lagu Raya Si Gadis Lebaran - "Beliau Sinonim Dengan Imej Wanita Melayu"

Amri Hassan 01/03/2025 | 16:21 MYT
Pereka fesyen duo FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok teruja menanti reaksi terhadap lagu raya pertama mereka, Si Gadis Lebaran, nyanyian Aliff Azman.
Berani untuk tampil menghasilkan lagu raya, jelas Farel yang juga mencipta lagu itu bersama Tya Amida mendapat inspirasi daripada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
"Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.
"Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
"Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita," katanya.
Farel ditemui media dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion yang berlangsung pada Khamis di Grandmama, Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur.
Si Gadis Lebaran mengisahkan tentang wanita yang cantik bergaya di hari raya. Kejelitaannya makin menyerlah apabila mengenakan baju tradisional Melayu.

Nak masuk AJL

Dalam pada itu, Farel menegaskan apa yang membuatkan dirinya berani mencuba sesuatu yang baharu adalah apabila melihat usahawan selebriti terkenal Datuk Seri Aliff Syukri kini jadi penyanyi.
"Ramai yang kata pereka fesyen tak perlu terbitkan lagu, tapi bagi kami, fesyen dan seni saling berkaitan. Kami terinspirasi oleh keberanian Aliff Syukri—walau dikritik, dia tetap teruskan. Jadi, kenapa tidak kami?" katanya.
Menurut Farel, percubaan pertamanya mencipta lagu dan lirik lagu merupakan permulaan awal untuk lebih jauh dalam bidang muzik.
"Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.
"Saya sebenarnya serius dalam bidang ini, selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu," tambahnya.

Beautiful Malaysia

Dalam acara Beautiful Malaysia, Farel dan Jonathan mempersembahkan 13 rekaan busana wanita Melayu di bawah jenama FM Group, mewakili setiap negeri di Malaysia.
"Rekaan bermotifkan songket dan batik ini diinspirasikan daripada ikon wanita Melayu seperti Puteri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), dan Kurung Riau (Johor). Kami juga bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah untuk mengangkat warisan tradisional ini," katanya.
Farel menekankan bahawa fesyen, seperti makanan dan seni, memainkan peranan penting dalam memelihara identiti budaya agar kekal relevan.
"Acara ini menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa dan memulihara sejarah serta warisan negara," tambahnya.
Beautiful Malaysia mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), manakala FM Group, selaku penganjur festival fesyen Precious of Malaysia, turut menerbitkan buku Pesona Kebaya.
Menariknya, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan melancarkan buku tersebut di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur tahun lalu.
#Viral #Siti Nurhaliza #Lagu #Raya #Beautiful Malaysia #Farel Mikail #Jonathan Kok #Si Gadis Lebaran