Hiburan
Intan Dan Perak Cerminan Ekspresi Gelap Imran Ajmain
Mula meraih populariti menerusi lagu hit, Seribu Tahun pada 2007, penyanyi serta penggubah lagu, Imran Ajmain, 37, kini menghadirkan lagu terbaharu berirama balada berjudul Intan Dan Perak, teristimewa buat penikmat muzik di Malaysia.
Imran yang juga menggalas posisi Pengarah Kreatif SukaSucre Creatives itu menjelaskan, dia terinspirasi untuk menyiapkan karya tersebut selepas menyaksikan filem Blood Diamond lakonan Leonardo DiCaprio pada tahun 2006.
Ia berkisarkan mengenai pengorbanan seorang lelaki terpaksa mendepani situasi gelap dalam perhubungan.
“Watak utama dalam filem ini ditunjangi oleh Djimon Hounsou yang dijadikan hamba abdi di sebuah tapak perlombongan berlian semasa perang saudara di Sierra Leone, Afrika hingga dia harus melalui banyak onak dan duri untuk mendapatkan intan berharga.
“Semua ini dilakukan demi menyelamatkan diri sendiri dan keluarganya daripada peperangan yang berlaku. Walaupun tetap berjaya pada pengakhiran cerita, namun dia menanggung bermacam insiden serta pengalaman yang teramat menyiksa jiwa raganya.
“Relevannya, naratif itu juga boleh digunakan di dalam perhubungan moden di mana wanita zaman kini punya pendidikan tinggi sekali gus memiliki pendapatan tinggi hingga menjadikan golongan lelaki pula tidak mampu melakukan hal sama termasuk mengekalkan hubungan,” jelas Imran penuh metafora mengenai lagu baharu tersebut.
Tiada lain, dendam, amarah, kecewa, duka saling berbagi emosi berlaku tanpa mampu dihindar. Situasi itu juga cuba diluahkan oleh Imran buat khalayak melalui garapan lirik puitis single terkininya sementara melodi Intan dan Perak digubah oleh Rauzan Rahman serta Avex daripada komuniti HipHop Malaysia.
Berawal pantas larut di dalam jiwa Intan Dan Perak, proses rakaman di studio tidak mengambil masa yang panjang. Proses terbabit berjaya diselesaikan dalam satu malam bersama Faiz Rosli di Nomad Studios, Petaling Jaya.
“Saya tidak berdepan masalah ketika merakamkan lagu ini kerana telah membuat persiapan sejak awal lagi termasuk menjaga vokal dan tidak terkecuali kesihatan. Justeru, proses rakaman berlangsung dengan lancar tambahan pula saya memang bercita-cita tinggi untuk muncul semula dengan karya solo usai Seribu Tahun.
“Tidak ketinggalan, peminat akan mendengar Intan Dan Perak yang masih kekal bermelodi pop balada bersama lenggok suara Melayu saya, namun ada elemen muzik berentak R&B dan Hiphop. Justeru, saya anggap single ini teramat istimewa di hati,” tuntas Imran sambil mengekspresikan konklusi lagu ini.
Sebelum menoktah bicara, Imran meletakkan ekspektasi tinggi agar single ini diterima baik oleh peminat lalu menjadi siulan peminat yang selama ini mengikuti perjalanan karier seninya juga menghimpun pengikut terbaharu terdiri daripada golongan remaja.
Untuk mengetahui perkembangan terkini atau variasi kisah seharian Imran yang pernah menghasilkan single duet bersama NJWA yang berjudul Sentiasa Merinding, peminat boleh mengikuti di laman Instagram atau Twitter; @imranajmain.
Intan dan Perak yang merupakan terbitan oleh SukaSucre Creatives di samping Penerbit Eksekutif, Datuk Fazley Yaakob ini boleh didapati serta didengar menerusi aneka penstriman ataupun pelantar digital seperti Spotify, Joox, Apple Music pada 1 Mac ini.
Must-Watch Video