HIBURAN
Inteam Umum Konsert Kasih Kekasih Pindah Lokasi Lebih Besar, Tarikh Baharu - “Kami Tak Sangka…”
Selepas mencipta fenomena apabila jualan tiket konsert laris, kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, mengumumkan bahawa Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun akan dipindahkan ke IdeaLive, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut anggotanya, Syahril Khalid, konsert bersempena 25 tahun dalam industri itu juga akan dianjakkan ke tarikh baharu iaitu pada 28 September 2025.
“Kami bersyukur dan terharu apabila tiket konsert di venue asal sebelum ini habis dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas dilancarkan.
"Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat. Peminat turut mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau memilih lokasi yang lebih besar.
“Maka kami mengambil keputusan untuk berpindah ke IdeaLive, Petaling Jaya," katanya kepada Gempak pada sidang media Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun di Petaling Jaya, pada Selasa.
Dalam pada itu, Inteam turut memaklumkan pembeli tiket terdahulu tidak perlu bimbang kerana pembeli akan diberikan tempat duduk istimewa dan di zon masing-masing akan dihubungi oleh pihak urusetia bagi pengesahan tempat duduk dan pemakluman pertukaran tarikh.
Konsert ini akan menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia, termasuk penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
Tiket baharu akan mula dijual pada 14 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire, yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert: www.kasihkekasih.com.
Must-Watch Video