Inul Daratista Sifatkan Pesaing Perniagaan Karaoke Yang Tak Henti Meniru Sebagai Pencuri!

Asraf Aided
Jun 18, 2020 10:09 MYT
Penyanyi dangdut popular Indonesia, Inul Daratista akui tugasnya sebagai pengusaha perniagaan bukanlah satu perkara mudah.
Menurut Inul, dia sering memikirkan pelbagai idea untuk terus mengembangkan bisnes meskipun sudah pasti akan memperoleh keuntungan.
"Sebagai pemilik perniagaan, tak semestinya saya boleh duduk diam bergoyang kaki sahaja meskipun sudah tahu akan memperoleh keuntungan.
"Saya harus terus bereksperimen dalam dunia perniagaan karaoke ini, pelbagai inovasi harus dilakukan, segala kreativiti dan idea adalah untuk memuaskan hati para pelanggan kami," tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Inul juga mengatakan dia tidak kisah jika ideanya ditiru oleh para pesaingnya.
"Sejujurnya, semua orang yang memiliki kelebihan ingin berada di posisi paling hadapan, saya tak pernah menyerah dengan idea-idea saya khususnya kali ini, kami membuat animasi menggunakan kecanggihan teknologi.
"Idea saya pasti akan ditiru oleh orang lain terutamanya para pesaing, tak mengapa, memang begitu, sebagai orang pertama yang menghasilkan idea, saya rasa bangga apabila ia ditiru.
"Saya tak pernah menyerah, banyak idea dalam kepala saya yang akan dicurahkan untuk terus memajukan perniagaan saya," tulisnya lagi.
Tambah Inul, sesebuah perusahaan yang selalu mencuri idea orang lain boleh disifatkan sebagai pencuri dalam bidang bisnes.
"Sesebuah perniagaan yang banyak mencuri idea orang lain akan selamanya menjadi pencuri, bukan sahaja majikannya, malah para pekerjanya juga boleh disifatkan sebegitu," tambahnya.
Meninjau ruangan komen entri berkenaan, rata-rata pengikut Inul turut bersetuju dengan pendapatnya itu, tidak kurang juga yang memuji kejayaan Inul yang berjaya mengendalikan perniagaan karaoke bertahun lamanya.
Sekadar info, Inul memiliki perniagaan karaoke Inul Vizta Family KTV yang mempunyai beberapa cawangan di Indonesia.
Difahamkan, Inul juga memiliki lebih kurang 8,000 pekerja yang bernaung di bawah perusahaannya itu.
#Dangdut #Indonesia #Inul