Bintang seni mempertahankan diri terkenal Hong Kong, Donnie Yen dilapor bakal muncul dalam sekuel terbaharu filem aksi "John Wick 4".

Difahamkan Donnie yang popular dalam filem aksi francais "Ip Man" akan memegang watak sebagai rakan lama John Wick (Keanu Reeves) yang berkongsi sejarah dan juga musuh yang sama, lapor Entertainment Weekly.

"Kami sangat bertuah kerana Donnie Yen menyertai francais ini.

“Saya tidak sabar untuk bekerja dengannya dalam peranan baharu yang menarik ini," kata pengarah Chad Stahelski dalam satu kenyataan.

Donnie terkenal dengan peranannya dalam filem aksi seni mempertahankan diri, termasuk francais "Ip Man" di mana memegang watak sebagai 'sifu' atau 'grandmaster'.

Di sebalik watak di layar perak, Donnie sememangnya mahir dalam banyak teknik seni mempertahankan diri termasuk wushu, judo, dan wing chun.

Selain "Ip Man", pelakon Hong Kong itu juga pernah membintangi filem francais "Star Wars: Rogue One" dan "Mulan".