Hiburan
Ippo Hafiz Gagahkan Diri Teman Isteri Di Bilik Bersalin
Penyanyi Ippo Hafiz akui berasa takut untuk menemani isterinya, Fara Roslan ketika berada di bilik bersalin kira-kira tiga minggu lagi.
Kata Ippo, dia cuba untuk kuatkan diri kerana sudah berjanji untuk berada di sisi isteri semasa proses melahirkan anak.
"Persiapan semua dah siap, isteri pun akan berpantang di rumah keluarga di Shah Alam. Gementar juga menanti hari kelahiran.
"Memandangkan sekarang sedang penularan Covid-19, saya berharap sangat pihak hospital beri keizinan untuk teman isteri sampai ke bilik bersalin.
"Sejujurnya saya takut juga nak tengok proses itu nanti tapi saya cuba kuatkan diri dan reda sahaja.
"Saya dah janji dengan isteri akan berada di sisinya sepanjang proses itu kelak," katanya kepada Gempak.
Ippo ditemui ketika majlis pembukaan restoran miliknya, ZaraZyaCooks (ZZC) di Jalan Setia Dagang, Setia Alam, Selangor.
Tambah pelantun lagu Seandainya Aku, dia mengambil pendekatan untuk tidak merahsiakan nama anak kerana berpendapat ia adalah doa.
"Bagi saya okay sahaja beritahu awal-awal kerana nama yang baik itukan doa. Semasa dalam perut lagi kami dah panggil nama itu supaya dia tahu itu namanya.
"Alhamdulillah, bayi membesar dengan sihat dalam kandungan dan dijangka akan dilahirkan kira-kira tiga minggu lagi," katanya lagi.
Ippo dan Fara berkahwin pada Ogos 2019 di Ampang, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Ippo pernah mengambil anak angkat Cinta Rizky Amanda, 4, yang dijaga sejak lahir.
Must-Watch Video