Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ippo Hafiz Minta Kakak Tak Campur Urusan Rumah Tangga - “Dia Mungkin Tak Tahu Masalah Luar Dalam…”

Asyikin Mayudin
24/04/2024 00:55 MYT
Penyanyi Ippo Hafiz menganggap kakak kandungnya iaitu Yazmin tidak mengetahui hal sebenar yang berlaku dalam rumah tangganya bersama isteri, Fara Roslan.

Berhenti Campur Urusan Rumah Tangga

Ippo atau Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 34, berkata, dia sudah menasihatkan agar pihak ketiga tidak ikut campur tangan bagi mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya tidak mahu komen tentang pihak ketiga (kakak). Dia mungkin tidak tahu masalah luar dalam rumah tangga kami.

"Jadi lebih baik, saya menasihati mereka semua berhenti berkongsi di media sosial dan saya berharap netizen tidak menyalahtafsir tentang perkara ini," katanya kepada Gempak.

Ippo menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada sebutan kedua kes tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Fara di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, Selangor pada Selasa.

Hubungan Dengan Kakak Masih Baik

Penyanyi lagu Kekal Bahagia ini bagaimanapun memberitahu hubungannya bersama Yazmin dan seluruh keluarganya masih lagi baik.

"Hubungan saya dan keluarga (kakak) masih lagi baik. Walau bagaimanapun kita tidak boleh putuskan ikatan kekeluargaan. Cuma saya ingin tekankan isu rumah tangga ini hanya suami dan isteri sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya minta peminat yang suka mendengar lagu saya sebelum ini jangan campurkan isu peribadi dengan kerjaya saya," ujarnya.

Hantar Notis Kepada Pihak Ketiga

Dalam pada itu, wakil peguam Ippo iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan menegaskan pihak mereka sudah menghantar notis kepada pihak yang terbabit supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan di media sosial.

Menurut Fakhrul, perkara tersebut membuatkan Ippo tertekan kerana hampir setiap hati kenyataan berunsur fitnah dimuat naik di media sosial oleh pihak ketiga.

"Bagi pihak Ippo, kita mohon segala kenyataan di media sosial diberhentikan dan tidak memperbesarkan lagi isu ini.

"Kami sudah berikan notis kepada pihak-pihak yang membuat kenyataan di media sosial dan berharap selepas ini tiada apa-apa lagi kenyataan berkenaan rumah tangga Ippo dan isteri.

"Biarlah mahkamah yang tentukan berkaitan masalah-masalah yang timbul. Perkara ini kalau dipanjangkan di media sosial, Ippo pun jadi stres juga," katanya.

Pada pagi Selasa, Ippo dan isteri iaitu Fara Roslan hadir ke mahkamah bagi sebutan kedua tuntutan nusyuz.

Hakim Syarie Afif Sofiuddin mengarahkan Fara selaku defendan memfailkan jawapan kepada pembelaan kes nusyuz difailkan Ippo pada prosiding pada 24 Jun depan.

Afif juga menegur kegagalan peguam mewakili Fara yang tidak menghadirkan diri pada prosiding tersebut.

Pada 19 April lalu, Ippo memberitahu anak kedua mereka Ibrahim Afi Nur, 2, kini dalam jagaannya dan tidak pernah menghalang Fara datang bertemu kanak-kanak itu.

Manakala anak sulung mereka iaitu Yusof Zarin Nur, 4, kini menetap bersama Fara.

Pada 12 Mac lalu, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya.

Tuntutan dibuat susulan isterinya itu tidak pulang dan keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.

Untuk rekod, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019.

BERITA TRENDING: Nafi Dakwaan Sukar Dihubungi, Ippo Hafiz Enggan Jaja Kisah Rumah Tangga - “Dia Masih Isteri, Jadi Lindungilah Maruah Suami”


BERITA TRENDING: 3 Bulan Tak Dapat Jumpa Anak Kedua, Isteri Ippo Hafiz Ada Bukti Sukar Dihubungi - “Kalau Dia Jaga & Tiada Masalah, Kenapa Saya…”

#Ippo Hafiz #Fara Roslan #Isteri Ippo Hafiz #Kakak Ippo
;