Laman Utama
iQIYI Gabung Tenaga Bersama FINAS Dalam Kempen Anti Cetak Rompak #JanganTontonHaram
Perkhidmatan penstriman antarabangsa, iQiyi International telah melancarkan kempen anti cetak rompak sulung dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini.
Kempen menggunakan tanda pagar #JanganTontonHaram itu bertujuan untuk mendorong pengguna-pengguna awam yang terbabit dalam usaha menangani kecurian kandungan dan cetak rompak digital.
Ianya adalah usaha bersepadu dalam membendung dan mencegah ancaman terbesar terhadap industri hiburan yang kini pesat berkembang di Malaysia.
Menurut Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, kempen itu juga pendekatan peringkat akar umbi dalam memerangi kegiatan kecurian kandungan dan cetak rompak digital.
"Kempen ini dilaksanakan secara digital dengan berteraskan beberapa inisiatif. Kami menggalakkan penonton untuk terbabit secara proaktif dengan memerangi dan mematahkan kegiatan jenayah ini.
“Dengan penglibatan para pengguna, kami berharap langkah ini dapat melumpuhkan aktiviti cetak rompak apabila permintaan untuk cetak rompak berkurangan.
“Penggunaan digital secara berhemah merupakan satu amalan yang mampu mengubah landskap industri hiburan dan inilah yang kami maksudkan dengan ‘kuasa klik pengguna’.
“Apabila kita semua berganding bahu di antara pelbagai pihak, nescaya kita dapat melindungi tenaga kerja, hak cipta dan harta intelek industri ini,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya memang menyokong sepenuhnya kempen berkenaan.
“FINAS sudah laksanakan banyak kempen kesadaran terhadap cetak rompak sebelum ini, tetapi tidak ada kempen yang memberi insentif kepada mereka yang boleh melaporkan kegiatan cetak rompak.
“#JanganTontonHaram meletakkan pengguna di barisan hadapan sebagai pusat anti cetak rompak dan ini merupakan satu perkara yang sangat dialu-alukan, dan disokong oleh FINAS,” katanya.
Sekadar info, perbuatan mencuri atau menciplak kandungan dan cetak rompak digital mendatangkan kesan kepada banyak pihak iaitu dari syarikat-syarikat produksi, syarikat kreatif dan teknologi baharu, artis, syarikat penyedia perkhidmatan sehinggalah ke kru produksi.
Kerugian dari kegiatan jenayah ini dianggarkan mencecah RM3 bilion dan kerajaan turut mengalami kerugian hasil cukai sehingga RM157 juta setiap tahun.
Perkembangan industri hiburan dan pelancaran filem juga mengalami impak yang amat teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Kempen #JanganTontonHaram iQiyi – Finas ini dilancarkan secara rasmi pada hari pertama CONNECTASIA 2021 yang berlangsung baru-baru ini.
Acara yang berlagsung di Kuala Lumpur itu dihadiri oleh peserta industri Filem dan TV Malaysia termasuklah pencipta audio visual dan kandungan profesional, syarikat penyiaran dan pihak kawal selia.
Maklumat lanjut mengenai kempen ini, boleh layari laman web www.jangantontonharam.com.