Bintang Big Stage 2019, Irfan Haris mendedahkan dirinya kecewa apabila cintanya ditolak gadis idaman.

Menurut Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman, 18, dia merana apabila usaha untuk memiliki cinta daripada gadis idaman tidak terlaksana dan menjadi sia-sia.

Namun, semua itu hanyalah jalan cerita dalam video muzik single terbaru berjudul Honey khas buat peminat setianya.

“Lagu ini sudah hampir dua tahun disiapkan, tapi baru sekarang dikeluarkan. Kebetulan, saya terbabit dalam program Big Stage 2019 dan berjaya ke peringkat akhir. Jadi, inilah waktu yang sesuai.

“Kemudian, saya memikirkan konsep muzik video bagi disesuaikan dengan lirik lagu. Alhamdulillah, dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pengarah, Syahmi Norsan terhasillah muzik video Honey ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Irfan berkata, apa yang pasti muzik video itu mempunyai kenunikan tersendiri apatah lagi diselitkan eleman kejutan pada penghujung muzik video itu.

“Sejujurnya, saya berpuas hati sebab apa yang diinginkan dalam muzik video ini dapat ditunaikan,” katanya lagi.

Lagu Honey adalah hasil ciptaan sepenuhnya Irfan bersama abangnya, Haiqal Iskandar.

Video muzik lagu Honey menjalani penggambaran selama dua hari pada 19 dan 30 Oktober lalu.

Video muzik ini telah dilancarkan secara rasmi pada 15 November yang lalu di saluran Youtube Seventeen Eleven Music.