Pengacara terkenal, Jihan Muse tidak berasa iri hati apabila posisinya dalam program Gegar Vaganza 9 (GV9) tahun lalu digantikan oleh penyanyi, Elly Mazlein.

Sebaliknya kata Jihan, dia bersyukur kerana GV9 telah memilih orang yang tepat untuk mengedalikan program besar tersebut.

“Sebenarnya pada waktu saya nak bersalin, GV9 dah nak mula, pada awalnya memang kita ada berbincang sama ada boleh atau tidak sekiranya dilewatkan, tapi tak boleh atas sebab-sebab tertentu.

“Jadi saya cakap minta maaf sangat sebab saya tak boleh libatkan diri. Untuk pemilihan hos, saya memang dah agak pada ketika itu, kalau bukan Elly Mazlein, Sherry Alhadad.

“Tak kisahlah siapa pun mengemudi janji program tu best. Program tu dah besar jadi saya harap orang yang mengacarakannya pun memang padu.

“Alhamdulillah, kita pun tahu Kak Lina (panggilan Elly) punya kerja macam mana, saya gembira program itu berjalan dengan lancar dan saya rasa lagi boom kot!” katanya ketika ditemui Gempak.

Jihan ditemui selepas sidang media memperkenalkan hos Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) yang berlangsung di PJ Pac, 1 Utama, Damansara pada Rabu.

Tambah Jihan lagi, dia juga berasa seronok melihat cara Elly mengendalikan GV9 dan memuji kredibili penyanyi itu.

“Sebab sejujurnya sebagai penonton pun kadang kita nak tengok benda baru, benda yang fresh. Jadi saya di rumah sebagai penonton dan menonton rancangan itu, saya rasa puas hati. Impak dia padu.

“Impak dia padu, GV9 tu saya rasa memang best! Lagi pun lepas PKP, ada penonton, jadi ia happening,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jihan juga menjelaskan sebagai anak seni dan seorang pengacara dia sudah terbiasa dengan senario yang sering beralih daripada satu projek ke projek yang lain

“Iri hati? Eh tak adalah, kerja ni sama sahaja, bila kita rehat, orang lain ganti. Saya rasa itu kerja masing-masing.

“Tak ada timbul rasa iri hati atau apa, pada ketika itu pun saya sendiri yang cuti. Bukannya saya di buang kerja atau apa.

“Saya positif sebab pada saya kerja kita sebagai pengacara ni memang inilah kerja kita. Jadi kalau bukan yang ini kita ada kerja lain,” jelasnya.

Terdahulu, nama Elly Mazlein menjadi sebutan dan mendapat pujian netizen kerana berjaya mengendalikan GV9 dengan baik bersama Nabil Ahmad.

Jihan pada ketika itu baru bersalin dan berada dalam pantang.

Bagaimanapun ada juga netizen yang mencadangkan selepas ini sekiranya pihak GV boleh menggandingkan tiga nama besar, Jihan, Nabil dan Elly untuk mengendalikan program itu di musim akan datang.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.