VIRAL

Isra*l Bebaskan Pengarah Palestin, Isteri Dedah Suami Diserang Lepas Berbuka Puasa

Maliah Surip 26/03/2025 | 06:55 MYT
Pengarah Palestin, Hamdan Ballal yang dipukul dan diculik tentera Israel telah dibebaskan pada Selasa iaitu sehari selepas dirinya ditahan.
Peguam pengarah bersama filem dokumentari yang memenangi Oscar 2025, No Other Land itu, Leah Tzemel mendakwa kliennya telah ditangkap secara sewenang-wenangnya tanpa prosuder undang-undang yang betul.
Ballal kemudian ditahan di sebuah penempatan Israel, Kiryat Arba’a yang terletak di di Tebing Barat. Di sana dia sekali lagi dipukul oleh tentera Israel, lapor CNN.
Pengarah itu memaklumkan dia ditahan di sebuah pangkalan tentera Israel dan terpaksa tidur di bawah pendingin hawa yang sangat sejuk dengan mata ditutup selama 24 jam selain dipukul.
Sebaik dibebaskan, Ballal menerima rawatan di sebuah hospital di Hebron. Meski mengalami lebam, luka dan kekurangan air dalam badan, Ballal dilaporkan meninggalkan hospital bersama rakan pengarahnya, Basel Adra dan pulang ke kediamannya di Susya.
Laporan sama turut merakam temubual bersama isteri Ballal, Lamya yang memberitahu suaminya telah diserang di hadapan rumah mereka oleh tiga orang tentera sebaik mereka berbuka puasa.
“Mereka memukul Ballal menggunakan set logam yang dipasang pada jari serta belakang senjata di kepala. Ada yang membaling batu di pintu rumah dan membuat percubaan menceroboh rumah kami menerusi tingkap,” cerita Lamya.
Pihak Israel mendakwa menangkap Ballal kerana dia bersama beberapa yang lain telah membaling batu ke arah penduduk tempatan namun dakwaan itu dinafikan.
Terdahulu, Ballal ditahan di perkampungan Masafer Yatta, selatan Hebron, Tebing Barat.
#Filem #Pengarah #Israel #Palestin #Hamdan Ballal