Hiburan
Issey Berjaya Pujuk M.Nasir Kelik Kelantan Selepas 25 Tahun - "Saya Akui Tak Mudah..."
Karnival gaya hidup dan makanan, Makar Fest yang berlangsung baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa sifu muzik Datuk Dr M. Nasir kembali semula ke Kota Bharu, Kelantan selepas lebih dua dekad.
Orang kuat Makar Fest anjuran bersama Red Bean Productions & Agency dan Sunburst KL, Issey Fazlisham berkongsi, M.Nasir akhirnya muncul di pentas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu selepas kali terakhir pada 25 tahun lalu.
"Pastinya satu penghargaan buat kami apabila beliau sudi dan bersetuju hadir membuat persembahan di Makar Fest sempena Malam Muzikal Makar pada 31 Januari lalu.
"Saya akui bukan mudah untuk memujuk beliau dek kesibukannya tapi bersyukur rezeki kami dan saya sendiri teruja selepas beliau setuju sebaik kita kongsi konsep karnival ini yang lain dari lain iaitu membabitkan tiga elemen makar (fesyen), makan dan muzik.
"Sifu M.Nasir mempunyai ciri-ciri itu iaitu seorang penyanyi yang sentiasa ada gaya tersendiri dan ditunggu-tunggu oleh peminat di Kelantan," katanya.
Pada malam berkenaan Dr M. Nasir menyampaikan lagu lagu antaranya Hati Emas, Mentera Semerah Padi dan lagu dialek Kelantan Lagam Pok Dogol
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_issey_mnasir-(1).jpg)
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_issey_mnasir-(3).jpg)
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_issey_mnasir-(2).jpg)
Maestro muzik itu turut sporting dan sudi menyampaikan lagu tambahan Raikan Cinta selain turut bersama-sama berdikir lagu Wau Bulan.
Selain M.Nasir, penyanyi Amir Masdi turut memeriahkan malam berkenaan bersama pelawak Sabri Yunus.
Issey yang juga penyampai radio Gegar FM dan pelakon turut melahirkan rasa syukur dengan sambutan hampir 250,000 pengunjung sepanjang empat hari karnival yang turut diwangikan oleh Yaya Empire di perkarangan Mydin Mall di Tunjong.
Bercerita lanjut, Issey berkata sebagai anak jati Kelantan dia gembira kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat setempat termasuk peluang perniagaan.
"Syukur juga kerana kami dapat membuka peluang kepada rakan artis dan pempengaruh sama-sama berniaga selain turut menarik pengujung bukan saja tempatan tetapi juga selatan Thailand," katanya.
Issey berkata, berdasarkan sambutan hangat diterima, karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti seisi keluarga termasuk barangan makanan, fesyen dan hobi bakal diteruskan dengan Makar Fest 2.0.
"Kita mendapat respon yang sangat baik dan sokongan padu daripada peserta karnival yang mahu Makar Fest diteruskan dan saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua.
"Maklumat lanjut mengenai Makar Fest 2.0 akan dimaklumkan kemudian menerusi laman media sosial kami," katanya.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_issey_mnasir-(6).jpg)
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_issey_mnasir-(7)_1.jpg)
Must-Watch Video