Laman Utama
Issey Fazlisham Tamat Kontrak Bersama Stesen Radio, Bakal Umum Perancangan Baharu Kelak
Penyampai radio Issey Fazlisham telah membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatannya bersama sebuah stesen radio setelah tiga tahun ke udara.
Menurut Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, mengambil keputusan untuk keluar daripada stesen radio terbabit bukanlah sesuatu yang mudah tetapi dia harus melakukannya kerana mempunyai perancangan tersendiri.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di sini. Sebenarnya keputusan ni Issey buat dalam keadaan tiba-tiba jugak. Saya seronok di kerja di sini, tapi itulah, Issey ada perancangan tersendiri cuma Issey tak boleh nak kongsi lagi bersama semua.
Advertisement
“Stesen radio ni banyak mengajar Issey sebenarnya, belajar menjadi lebih matang, selok-belok ilmu radio dan nilai persahabatan. Paling Issey tak boleh lupa bila kita sertai Roadtour Jelajah sebelum pandemik, memang akan kekal dalam memori saya sampai bila-bila,” ujarnya ketika dihubungi Gempak.
Apabila ditanya adakah dia mendapat tawaran untuk menyertai stesen radio lain, Issey hanya ketawa.
“Issey keluar sebab ada perancangan sendiri, insya-Allah dalam masa terdekat ni Issey akan beritahu,” jelasnya lagi.
Menurut Pengurus Besar stesen radio terbabit, DJ Lin, dia menghormati keputusan yang dilakukan oleh Issey dan masih belum ada perancangan untuk mencari pengganti trio penyampai pagi itu.
“Kami menghormati keputusan Issey yang mempunyai perancangan kerjayanya tersendiri di dalam dunia hiburan serta mengucapkan terima kasih di atas khidmatnya selama ini sebagai penyampai di sini.
“Buat masa sekarang, tiada perancangan mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Issey buat masa ini dan segmen pagi ini akan kekal ke udara bersama Ajak dan Fizi Ali.
“Sebarang perancangan akan datang akan dihebahkan kepada media dan orang ramai,” katanya.
Must-Watch Video