Penyampai radio dan pelawak, Issey mendedahkan kemungkinan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan disambut berseorangan.

Jelas Issey, memandangkan anak-anak tirinya masih di Kelantan, isterinya, Noor Aimi Jamel akan pulang ke sana memandangkan dia mendapat kelonggaran untuk perjalanan rentas negeri.

"Sebenarnya perancangan raya belum pasti lagi, kemungkinan isteri balik ke Kelantan berseorangan.

"Walaupun dia sudah berpindah ke Kuala Lumpur namun masih ada kerja yang harus diselesaikan di Kelantan jadi dia mempunyai kelonggaran untuk bergerak rentas negeri.

"Untuk raya kali ini, saya korban demi anak-anak. Ikut hati memang sedih dah la ini tahun pertama saya beraya dengan isteri dan anak-anak.

"Tapi fikir balik ini adalah masa untuk kita bersabar sekejap bagi memutuskan rantaian Covid-19. Insya-Allah apabila semua dah okay, kita semua kembali seperti sedia kala," katanya ketika dihubungi Gempak.



Dalam pada itu, Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin, 32, akui kehidupannya lebih terjaga selepas isteri tinggal bersama.

"Alhamdulillah selepas isteri pindah ke Kuala Lumpur kehidupan lebih terjaga dan tersusun. Saya dah tak risau bab makan minum malah sekarang ini dah ada teman yang menemani.

"Kami manfaatkan bulan Ramadan ini dengan melakukan ibadah bersama. Setiap malam kami dapat berterawih sekali.

"Sejujurnya, saya ni tak berapa pandai bab agama jadi sedikit sebanyak isteri yang menolong, dia yang ajar mengaji. Sementara nak tunggu waktu Isyak, Aimi juga akan 'video call' dengan anak-anak untuk ajar mereka sekali.

"Selain itu, saya ada cuba benda baru dekat rumah seperti belajar memasak. Tapi selalunya Aimi yang akan memasak walaupun pada hari dia bekerja. Rasanya sekali saja dia tak masak itu pun sebab ada kawan bagi makanan untuk rasa.

"Saya paling suka singgang Kelantan dengan sotong telur masin Aimi buat. Memang terbaik," katanya lagi.

Terdahulu, Issey menamatkan zaman duda dengan rakan sekolah yang bekerja sebagai pengurus sumber manusia pada 22 Disember 2019 dan mempunyai tiga orang anak tiri.