HIBURAN

Isteri AC Mizal Terkilan Konsert 4U2C Jadi Isu -”Saya Tahu Susah Untuk Awak Tapi…”

Asyraf Roslan 03/07/2025 | 07:25 MYT
Isteri kepada penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk AC Mizal iaitu Emylia Rosnaida meluahkan rasa kecewa atas isu yang membabitkan konsert ulang tahun ke-30 kumpulan 4U2C yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram Stories, Emylia menzahirkan sokongan terhadap suaminya yang juga merupakan antara anggota utama kumpulan 4U2C.

“Sentiasa bersama awak sayang, saya tahu susah untuk awak tapi kami sentiasa berada di belakang awak dan sokong awak,” tulisnya.

Emylia turut meluahkan rasa terkilan apabila usaha mereka untuk meraikan 3 dekad 4U2C dalam industri menjadi isu besar.

“Orang tak tahu, kami sahaja yang tahu betapa susahnya. Kami hanya nak buat konsert sahaja, apa yang susah sangat sampai jadi isu.

“30 tahun 4U2C nak buat konsert comeback pun nak jadi isu,” tambahnya.


Kontroversi berkaitan konsert 4U2C mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isteri, Mama Rap dilapor mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live In Concert biarpun mereka memiliki sepenuhnya hak cipta lagu-lagu kumpulan hip hop popular era 1990-an itu.


Man Senoi dilapor mempersoalkan bagaimana 4U2C hendak mementaskan konsert jika 25 lagu yang dirakam adalah adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.


Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event yang menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam, akan dipentaskan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan.
#Konsert #Datuk AC Mizal #Datin Emylia Rosnaida