Isteri kepada penyanyi Alif Sata, Sha Dila Hadid meluahkan rasa bimbang menerusi ruangan IG Story di laman sosial Instagram (IG)nya malam tadi.

Luahan sayu tersebut seolah-olah menggambarkan perasaan Sha Dila ketika ini yang sangat bimbang dengan keadaan tiga orang anaknya.

“Berat untuk tidak berasa tertekan. Kegelisahan, risau, mental pain…Siapa yang betul-betul kuat untuk melalui semua ini.

“Anak-anakku…Ya Allah, aku merayu bermohon pada-Mu lindungilah mereka…Semua ini berlaku diluar jangkaan ku…Lindungi mereka, Ya Allah,” luahnya menerusi tiga buah hantaran tersebut.

Pada Ahad lalu, Alif Satar membuat pengumuman di laman sosial IG mengesahkan dirinya positif Covid-selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat perubatan di Melaka.

Sebagai kontak rapat, Sha Dila dan tiga cahaya mata, Alisha Anugerah, 4, Ariana Mecca, 2, dan Muhammad Ali, 1, sudah melakukan ujian calitan di kediamannya, jam 9.30 pagi, semalam (Isnin).

Dalam pada itu menerusi laporan BH Online, Sha Dila berkata, keputusan ujian calitan dijangka diketahui dalam tempoh 24 jam.

"Saya minta jauh daripada dijangkiti pandemik COVID-19, selama ini. Satu pengalaman yang saya percaya semua orang enggan melaluinya, tetapi akhirnya datang juga.

“Saya hanya reda dan pasrah. Jauh di lubuk hati, saya mengharapkan keputusan yang diperoleh menyebelahi saya dan anak-anak.

"Saya menitiskan air mata melihat tiga cahaya mata perlu melalui ujian calitan. Anak sulung agak okay dan hanya terkejut apabila melakukan ujian calitan pada bahagian hidung dan mulut.

"Anak kedua mulanya agak takut, tetapi berjaya ditenteramkan. Anak bongsu pula hanya menangis sekejap, kemudiannya kembali tenang," katanya.

Mengenai keadaan suaminya, Sha Dila berkata, Alif dalam keadaan tenang dan enggan terlalu memikirkan apa yang dilaluinya ketika ini.

"Saya tahu emosi dan fikiran Alif terganggu, namun dia tak mahu larut dengan perasaan dan kegelisahan hati.

"Alif cuba alih perasaan tidak tenteram dengan bersenam, mengaji dan pelbagai aktiviti lain. Dalam masa sama, Alif juga risaukan keadaan saya dan anak-anak.

"Jika ikutkan, Alif nak minta dipindahkan ke pusat perubatan di Sungai Buloh, tetapi doktor tidak membenarkan. Saya tak putus berdoa supaya suami terus kuat dan sembuh secepat mungkin," katanya.

Sha Dila berkata, kali terakhir bersua muka dengan suami selepas waktu Subuh pada Sabtu lalu.