HIBURAN
Isteri Along Cham Dedah Rumah Tangga Mula Bermasalah Selepas Dua Bulan Berkahwin - ‘Berlaku Lafaz Cerai Pertama Pada Ketika Itu’
Isteri kepada pelawak dan pelakon Along Cham iaitu Afreena Suhaimi mendedahkan rumah tangganya bersama Along Cham sudah bermasalah sejak dua bulan mereka berumah tangga.
Berlaku Perceraian Pada Jun 2024
Menurut Afreen atau lebih mesra disapa Feena, selepas dua bulan bernikah, telah berlakunya satu lafaz cerai dibuat Along kepadanya.
“Untuk hari ini yang diketengahkan hanyalah lafaz cerai taklik tapi sebenarnya sebelum itu telah berlakunya satu lafaz cerai pada Jun 2024 dan ia dilakukan di luar mahkamah.
“Dan kalau mengikut undang-undang mahkamah, ia merupakan satu kesalahan dan plaintif boleh dikenakan denda.
“Waktu itu kami baru saja berkahwin dua bulan dan pada ketika itu saya sudah berbincang dengan pihak plaintif untuk melakukan pengesahan cerai tetapi tiada sebarang tindakan yang dilakukan,” katanya kepada Gempak ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Isnin.
Susulan itu, Afreena meluahkan rasa kecewa apabila pengesahan lafaz cerai takliknya terpaksa ditangguhkan pada 8 Mei depan.
“Saya agak kecewa sebab perkara ini dah lama sangat tertangguh,” kongsinya.
Berlaku rujuk batin
Dalam pada itu, Along atau nama lengkapnya Muhammad Nizamuddin Ahmad mengakui berlakunya lafaz cerai kira-kira dua bulan selepas bernikah.
“Memang ada lafaz yang telah pun berlaku sebab ada beberapa perkara yang terjadi dan kami memang baru sangat kahwin pada ketika itu.
“Kemudian kami lakukan rujuk batin. Selepas itu dia pujuk saya dan berjanji untuk berubah dan saya bagi dia peluang sebab saya bukan berkahwin untuk bercerai.
“Tetapi kesalahan itu berlaku, berlaku, dan berlaku sehinggalah saya buat lafaz taklik,” jelasnya.
Terdahulu, pengesahan lafaz cerai taklik melibatkan Along dan Afreena terpaksa ditangguhkan kepada 8 Mei depan.
Keputusan itu dibuat mahkamah selepas Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi mendapati berlakunya kekeliruan berkaitan dokumentasi yang dibuat Along selalu plaintif.
Sekadar info, kemelut rumah tangga mereka mula timbul selepas Along mendakwa Afreena Suhaimi telah melanggar tiga perkara yang dipersetujui dalam perkahwinan yang membawa kepada jatuhnya lafaz taklik.
Dakwa Along, Afreena melanggar lafaz taklik tersebut pada tahun lalu dan sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut di mahkamah pada 16 Disember tahun lalu tetapi malangnya ditahan pihak polis pada 14 Disember akibat kes memiliki dadah.
Untuk rekod, Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena, 33, pada 4 April 2024.
Sebelum itu, Along pernah berkahwin dengan bekas peserta Akademi Fantasia iaitu Zila Seeron pada Januari 2010. Namun bercerai pada Ogos 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Ahmad Daniel, 14.