HIBURAN
Isteri Along Cham Enggan Komen Dakwaan Wujud Lafaz Rujuk - “Rujuk Lisan Ke Rujuk Batin Ke, Biar Mahkamah Tentukan”
Isteri kepada pelawak dan pelakon, Along Cham menyerahkan kepada pihak mahkamah soal timbul lafaz rujuk secara lisan seperti yang didakwa Along ketika prosiding kes pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, pada Khamis.
Enggan Komen Wujud Lafaz Rujuk
Menurut Afreena, dia berkata perkara tersebut terlalu sulit serta peribadi untuk dikongsi.
“Fasal rujuk itu saya enggan komen kerana ia agak sulit dan persendirian.
“Rujuk lisan ke rujuk batin ke pun biar pihak mahkamah yang tentukan adakah ia sah atau tidak.
“Prosiding pada Mac lalu pun saya tak cakap soal rujuk, yang bercakap soal rujuk batin ini adalah pihak plaintif,” katanya kepada Gempak.
Diam Lebih Baik
Tambah Afreena, dia enggan mengulas lanjut perkara tersebut kerana bimbang disalah erti semua pihak sebaliknya hanya berdiam diri.
“Bila seorang suami dah lafaz pada isteri dan tiada rujuk maka habis disitu sajalah.
“Sebelum ini saya tak pernah cakap soal rujuk lisan atau rujuk batin. Saya tak ada komen mengenai perkara tersebut.
“Kalau saya cakap lebih takut ia jadi salah faham. Jalan terbaik adalah saya tak perlu kata apa-apa,” jelasnya lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Afreena, Iezwan Ielias memaklumkan proses perceraian berlanjutan kerana wujud fakta baharu dalam perbicaraan yang dikemukan plaintif.
“Dari segi lafaz rujuk lisan itu memang tak pernah berlaku dan wujud. Rujuk hanya sekali sahaja.
“Dalam penyata tuntutan sebelum ini, pihak plaintif menyatakan ada rujuk secara batin cuma hari ini ditukar kenyataan bahawa ada rujuk secara lisan. Jadi sebab itu kes ini berlarutan kerana ada fakta baharu yang disebut hari ini.
“Dokumen yang mengandungi 96 halaman yang telah dimasukkan ke mahkamah ada semua bukti menyatakan tak pernah berlaku (rujuk lisan). Jadi kami akan buktikan pada mahkamah berdasarkan keterangan pada tarikh akan datang,” jelas Iezwan.
Pada prosiding hari ini, Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mengarahkan sebutan semula kes lafaz rujuk dalam perkahwinan berlangsung pada 1 dan 3 Julai depan.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.